Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK), Firli Bahuri. - FOTO Agensi
Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK), Firli Bahuri. - FOTO Agensi
Reuters

Jakarta: Badan antirasuah Indonesia menahan seorang hakim Mahkamah Agung kerana didakwa terbabit dalam skandal rasuah.

Ia dikatakan sebagai antara majistret paling berprofil tinggi yang berdepan siasatan jenayah itu.

Timbalan Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) dalam satu sidang media berkata, Hakim Sudrajad Dimyati ditahan selepas melaporkan diri secara sukarela kepada agensi itu, semalam.

KPK menahan enam suspek lain yang disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan nilai 2.2 bilion rupiah (RM666,532) untuk mendapatkan keputusan yang memihak bagi kes rayuan oleh koperasi pemberi pinjaman yang berdepan masalah insolvensi.

Pengerusi KPK, Firli Bahuri, sebelum ini secara terbuka menggesa Sudrajad dan tiga yang lain supaya menyerah diri.

Bagaimanapun, Sudrajad tidak memberi maklum balas untuk sebarang komen bagi menjawab dakwaan itu.

Pegawai Jabatan Pengawasan Mahkamah Agung, Zahrul Rabain berkata, Sudrajad akan digantung tugas, namun tidak menyatakan berapa lama tempohnya.

Firli berkata, KPK melakukan serbuan di Jakarta dan Semarang pada minggu ini serta menahan enam individu serta merampas wang tunai hampir AS$148,000 (RM677,618) di rumah seorang pegawai Mahkamah Agung, majoritinya dalam mata wang dolar Singapura dengan sebahagiannya disembunyikan dalam ruang kosong dalam kamus.

Seorang peguam yang mewakili koperasi pemberi pinjaman itu memberitahu pemberita di KPK bahawa, beliau (Sudrajad) bersedia 'untuk dihukum seberat mungkin'.

KPK ditubuhkan pada 2002 selepas kejatuhan Presiden Suharto, yang mana pemerintahannya didakwa pengkritik sebagai kleptokrasi.

Agensi itu mendapat sokongan orang ramai kerana bertindak ke atas tokoh yang berkuasa, termasuk ahli politik berprofil tinggi, ahli perniagaan, hakim tertinggi dan bekas menteri, yang dipenjarakan pada 2021 selama 12 tahun kerana menerima sogokan dalam perolehan pakej bantuan pandemik.

Presiden Joko Widodo dipilih pada 2014 atas platform untuk memerangi rasuah, namun beberapa pengkritik berkata, kuasa KPK disekat ketika beliau memegang jawatan, bagaimanapun kerajaan menafikan agensi itu disekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 1:09 PM