PESAKIT, dan penduduk yang mencari perlindungan, di Hospital Al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
PESAKIT, dan penduduk yang mencari perlindungan, di Hospital Al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Seramai 39 bayi yang mendapatkan rawatan di Hospital Al-Shifa, berisiko meninggal dunia pada bila-bila masa akibat kekurangan bekalan oksigen.

Pengurus Media, Kementerian Kesihatan Palestin, Mohammad Alawawda memberitahu Agensi Anadolu, 39 bayi itu dirawat di wad penjagaan kanak-kanak di Hospital Al-Shifa yang kini dikepung dan diserang tentera Zionis.

Katanya, 39 bayi berkenaan berisiko meninggal dunia, dan seorang bayi meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.

Mohammad mengeluarkan kenyataan terbaharu itu sekali gus membetulkan kenyataan dibuat Menteri Kesihatan, Mai Al-Kaila yang mendakwa, 39 bayi di unit rawatan rapi Hospital Al-Shifa meninggal dunia akibat kekurangan oksigen.

"Israel melakukan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza selain mengepung dan mengebom hospital.

"Jahanam masyarakat antarabangsa yang tidak dapat menghentikan mesin pemusnah dan membunuh orang sakit dan cedera di hospital dalam siaran langsung disaksikan dunia," katanya dalam satu sidang akhbar.

Katanya, tentera Israel mengepung hospital dengan kereta kebal dan bukannya membekalkan mereka dengan bahan api, ubat-ubatan dan bekalan.

"Yang pasti ini akan menyaksikan kematian dan kecederaan ribuan pesakit.

"20 daripada 35 hospital tidak dapat beroperasi kerana pengeboman Israel dan kekurangan bahan api," katanya.

Beliau berkata, Hospital Al-Nasr juga dibom secara langsung, mengakibatkan kemusnahan jabatan taska dan menyasarkan panel tenaga solar yang membawa kepada gangguan bekalan elektrik dan air.

Menteri itu merayu masyarakat antarabangsa supaya campur tangan segera, menarik balik kepungan ke atas hospital dan menghentikan perang untuk menyelamatkan ribuan nyawa penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 10:40 AM