FOTO fail menunjukkan khemah yang didirikan penduduk Palestin di perkarangan Hospital Al-Shifa, Gaza. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan khemah yang didirikan penduduk Palestin di perkarangan Hospital Al-Shifa, Gaza. FOTO Reuters
Agensi

Gaza: Lebih 7,000 orang yang kehilangan tempat tinggal membabitkan pesakit dan kakitangan perubatan di Hospital Al-Shifa di sini, kini bertarung untuk hidup akibat kekurangan air dan makanan disebabkan oleh sekatan tentera Israel, lapor Agensi Anadolu.

Menurut kenyataan dikeluarkan di Telegram pada Khamis, pejabat media Gaza merayu campur tangan segera masyarakat antarabangsa untuk menyelamatkan mereka.

Menurutnya, situasi itu sangat kritikal apabila sudah tiada makanan, air, atau susu untuk bayi di Hospital Al-Shifa.

"Kami mungkin kehilangan sebilangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan di hospital kerana bekalan elektrik terputus, menyebabkan mereka (tidak dapat bergantung dengan) inkubator," kata kenyataan itu.

Pejabat media menekankan keadaan teruk di Hospital Al-Shifa, yang menempatkan 650 pesakit dan kira-kira 7,000 individu yang dipindahkan.

Pasukan perubatan, pesakit dan individu yang sebelum ini berpindah ke situ, bergelut untuk terus hidup kerana ketiadaan keperluan hidup.

Kenyataan itu menegaskan bahawa tentera Israel memusnahkan semua kenderaan di perkarangan hospital dan enggan membenarkan kakitangan perubatan atau pesakit untuk keluar dari bangunan berkenaan.

"Tentera Israel menjalankan operasi mencari dan pemeriksaan di dalam Hospital Al-Shifa, memindahkan mayat syuhada ke lokasi yang tidak diketahui. Pasukan (Israel) menukar kemudahan itu menjadi berek tentera.

"Tekanan antarabangsa segera untuk membebaskan kawasan Hospital Al-Shifa daripada tentera Israel, mengeluarkan tentera dan kereta kebalnya, dan menolak naratif Israel mengenai senjata yang ada di hospital, menyifatkan ia sebagai palsu," katanya.

Menurut kenyataan sama, Hospital Al-Shifa dan hospital lain di Gaza adalah institusi kemanusiaan, dan tidak akan membenarkan kemudahan itu digunakan sebagai lokasi pelancaran operasi ketenteraan.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, tentera Israel mengepung Hospital Al-Ahli Baptist, kemudahan kesihatan terakhir yang beroperasi di Gaza, pada Khamis lalu.

Selama beberapa hari, serangan dan sekatan Israel menyasarkan semua hospital di utara Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 11:13 AM