PENDUDUK Palestin meninjau kerosakan bangunan akibat serangan tentera Israel di perkampungan Aqaba, Tebing Barat. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin meninjau kerosakan bangunan akibat serangan tentera Israel di perkampungan Aqaba, Tebing Barat. FOTO AFP
Bernama-Xinhua

Gaza/Ramallah: Sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, menurut sumber keselamatan dan perubatan Palestin pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin cedera oleh tentera Israel yang ditempatkan di pagar timur yang memisahkan Gaza dan Israel, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.

Sumber keselamatan Palestin yang berpangkalan di Gaza memberitahu Xinhua bahawa berpuluh-puluh pemuda tempatan mengadakan demonstrasi di bahagian timur Gaza menentang tentera Israel susulan 'pelanggaran yang berterusan di Tebing Barat'.

Penunjuk perasaan membakar tayar kereta dan membaling batu ke arah tentera yang kemudian melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka.

Juga pada Jumaat, sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin cedera semasa pertempuran yang meletus di kampung Kafr Qaddum di Tebing Barat, menurut sumber perubatan Palestin di Ramallah.

Pada Rabu, puak Palestin mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan perarakan mingguan menentang Israel di sempadan timur Gaza.

Perarakan mingguan, juga dikenali sebagai Marches of Return, dilancarkan pada 2018 oleh rakyat Palestin yang menuntut pelarian Palestin dikembalikan ke bandar asal mereka dan menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung sejak 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 3:24 PM