GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Agensi

Beijing: Malang nasib seorang wanita di China yang pecah gegendang telinga selepas 'bermesra' dengan teman lelakinya.

Oddity Central melaporkan, masalah itu berlaku selepas lelaki terbabit mencium telinga wanita dikenali sebagai Xiaohua itu.

Media China baru-baru ini melaporkan Xiaohua yang berasal dari bandar Huizhou, Wilayah Guangdong itu datang ke Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Hospital Rakyat Pertama Huizhou kerana mengalami sakit ringan dan hilang pendengaran di telinga kirinya.

Selepas memeriksa pesakit, doktor yang bertugas menemui darah kering pada gegendang telinganya.

Pemeriksaan lanjut mendapati Xiaohua mengalami gegendang telinga pecah yang traumatik.

Difahamkan, ada tompokan darah berhampiran lukanya, yang luar biasa namun mengikut sejarah perubatan, Xiaohua tidak mengalami sebarang trauma, kesan atau pukulan.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada dia boleh mengingati apa-apa yang mungkin menyebabkan gegendang telinga berlubang, Xiaohua memaklumkan teman lelakinya secara tidak sengaja menyedut saluran telinganya ketika keghairahan.

"Apabila dia mencium telinga saya, dia menyedut dengan kuat dan ia mengeluarkan bunyi 'pop'.

"Selepas itu, telinga kiri tidak dapat mendengar. Saya terkejut," kata Xiaohua, memberitahu doktor ENT, sambil menambah bahawa apa yang dia boleh dengar hanyalah berdengung berterusan disertai dengan sakit ringan.

"Dia hanya menyebut bahawa teman lelakinya menggunakan terlalu banyak kekerasan ketika ciuman, dan dia berasa sakit pada masa itu," kata Fu Jia, timbalan pengarah pembedahan kepala dan leher otolaryngologi di Hospital Rakyat Pertama Huizhou, kepada Hui Video.

Doktor menjelaskan bahawa gegendang telinga mudah pecah apabila tekanan atmosfera luaran berubah secara tiba-tiba, seperti dalam kes letupan dan bunyi yang sangat kuat.

Secara teorinya, sedutan yang digunakan melalui mulut juga boleh menjadi punca, walaupun gegendang telinga pecah ketika ciuman romantis pastinya sangat jarang berlaku.

"Biasanya, gegendang telinga sembuh dengan sendirinya dalam masa dua minggu hingga tiga bulan.

"Jika gegendang telinga tidak sembuh dalam tempoh tiga bulan, campur tangan luar mungkin diperlukan.

"Jika ia tidak dirawat, air boleh mengalir semasa mandi atau berenang dan boleh menyebabkan masalah seperti otitis, yang seterusnya boleh menyebabkan masalah pendengaran," kata Fu Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 12:03 PM