PUNCA utama gegendang bocor sekiranya amalan diteruskan tanpa berhati-hati.
PUNCA utama gegendang bocor sekiranya amalan diteruskan tanpa berhati-hati.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


TELINGA yang sering tertutup dek pemakaian tudung kadangkala berasa kurang selesa dan gatal. Apabila mula berasa gatal, pantas tangan kita mencapai putik kapas untuk mengorek khazanah berwarna kekuningan yang dianggap kotor dan menjijikkan.

Selain putik kapas, ada juga yang memilih pengorek telinga besi yang dirasakan lebih melegakan dan mudah untuk mengeluarkan tahi telinga. Mungkin ramai antara kita pernah mendengar perbuatan mengorek telinga ini tidak elok, tetapi ia tetap dilakukan kerana mahukan saluran telinga yang 'bersih'.

Malah ada orang yang membersihkan saluran telinga mereka setiap hari selepas mandi kerana mahu mengekalkan kebersihan. Jika anda termasuk dalam kumpulan ini, hentikan tabiat itu.

Tabiat yang diamalkan belasan atau puluhan tahun itu adalah amalan tidak sihat dan boleh mendatangkan risiko pada kesihatan telinga. Bahan dengan tekstur berlilin yang juga dipanggil serumen itu sebenarnya ada peranan penting dan tidak seharusnya ia dibuang tanpa alasan kukuh.

Lebih menakutkan, ia juga menjadi punca utama gegendang telinga bocor sekiranya amalan itu diteruskan dengan tidak berhati-hati.

DR Ezairy
DR Ezairy

Mengupas lanjut mengenai tabiat itu, Pegawai Perubatan Sarjana Pembedahan Telinga, Hidung, Tekak, Kepala & Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ezairy M Sallih berkata, tabiat mengorek telinga menggunakan putik kapas, besi atau apa saja alat berkaitan adalah tabiat tidak baik dan perlu dielakkan.

“Ramai yang suka mengorek telinga untuk mengeluarkan tahi telinga walhal mereka tidak tahu tahi telinga yang cuba dibuang itu mempunyai fungsi dan keistimewaan tersendiri.

“Mungkin ada yang berasa geli namun itu hakikatnya, ada juga yang sudah tahu mengenai perkara ini, tetapi peratusan itu sangat rendah dan hampir kebanyakan rakyat negara ini masih terus mengorek telinga serta menganggap ia amalan baik khususnya untuk kebersihan telinga," katanya.

Tabiat mengorek telinga akan mengganggu dinding salur telinga dan menyebabkan rasa lebih gatal dan jangkitan berlaku. Mengorek menggunakan putik kapas hanya menyebabkan tahi telinga ditolak lebih dalam ke gegendang telinga.

Menceritakan pengalamannya berdepan seorang pesakit, Dr Ezairy berkata, dia didatangi pesakit berusia 35 tahun yang sudah beberapa hari mengalami sakit pada telinga kanannya.

“Pendengarannya juga tersumbat, seakan-akan ada sesuatu yang menghalang selain dia turut berasa pedih dan perit.

“Pada hari dia bertemu saya, sudah ada cecair kuning yang keluar daripada telinganya dan apabila ditanya, dia menyatakan semuanya bermula dengan rasa gatal teramat menyebabkan dia menggunakan putik kapas dan pengorek besi untuk mengorek telinga. Wanita itu mengakui berasa lega dan selesa sebaik saja mengorek telinganya,” katanya.

Katanya, kelegaan itu hanya bertahan seketika dan semakin kerap dia mengorek telinga secara perlahan-lahan bertukar menjadi sakit dan berdenyut-denyut.

“Mengikut istilah perubatan, keadaan itu disebut 'otitis externa' iaitu jangkitan atau radang yang berlaku pada salur telinga luar pesakit iaitu saluran auditori luaran.

“Masalah ini terjadi disebabkan kekerapan mengorek telinga dan ini sebabnya kami sering berpesan untuk menghentikan amalan ini. Memang kita rasa selesa selepas membersihkan telinga, tetapi keselesaan itu tidak lama. Tanpa sedar kita hanya mendedahkan diri kepada pelbagai risiko yang tidak diingini kelak," katanya.

Timbul persoalan, bagaimana cara terbaik untuk membersihkan saluran telinga ini? Sebenarnya kita tidak perlu membersihkan saluran ini. Tahi telinga yang berfungsi memerangkap habuk dan kekotoran serta menghalang ia masuk jauh ke dalam telinga tidak perlu dibersihkan.

Saluran telinga ini dibersihkan secara semula jadi. Pergerakan anggota lain seperti mengunyah makanan, pergerakan rahang dan pertumbuhan sel baharu akan menolak tahi telinga ini keluar daripada saluran telinga.

Ini adalah proses semula jadi yang membantu mengekalkan kesihatan telinga. Apa yang kita perlu buat hanya membersihkan bahagian luar.

Menurut panduan, jika anda mengalami masalah salur telinga tersumbat disebabkan tahi telinga termasuk gejala seperti sakit, terdengar bunyi dengung atau rasa telinga 'penuh', kurang pendengaran, ada lelehan telinga (yang mungkin berbau) atau batuk, segera bertemu doktor.

Dr Ezairy berkata, langkah terbaik ialah bertemu doktor apabila berasakan sesuatu yang tidak kena dengan telinga.

INFO

FUNGSI TAHI TELINGA

1. Membentuk lapisan asid yang penting untuk mencegah jangkitan kuman bakteria dan fungus.

2. Ia mengandungi lapisan lipid, bersifat hidrofobik dan mencegah terlalu banyak air meresap ke salur telinga.

3. Menghalang segala kotoran dan bendasing luar masuk ke telinga.

HANYA BUANG APABILA:

1. Mengalami masalah kurang dengar.

2. Sakit akibat tahi telinga yang terlalu keras.

CARA ATASI MASALAH:

1. Jalani pemeriksaan telinga

2. Doktor memberikan ubat titis telinga jika tahi telinga terlalu keras.

3. Rujuk klinik pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) jika perlu.

4. Di klinik ENT, doktor akan bersihkan telinga dengan kaedah selamat dan kurang risiko kecederaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:20 AM