TELINGA sakit, ada benda bergerak dan pening berpanjangan antara simptom keberadaan kutu babi dalam telinga.
TELINGA sakit, ada benda bergerak dan pening berpanjangan antara simptom keberadaan kutu babi dalam telinga.
Hafiz Ithnin

AWAS, bagi mereka yang gemarkan aktiviti luar seperti berkhemah atau beriadah dalam hutan. Malah, bagi yang tinggal berhampiran kawasan penternakan juga perlu berjaga-jaga dengan haiwan ini.

Ia tampak kecil, tetapi kuasanya melekat dalam telinga bukan sahaja menyebabkan rasa kurang selesa, malah keupayaannya untuk menyedut darah dalam rongga terutama telinga boleh memberi kesan kesihatan yang buruk.

Kutu babi atau turut dikenali sebagai pirah, tempiras, capak atau cengkenit adalah nama bagi sejenis araknid dalam kumpulan Ixodidae yang bercirikan lapan kaki berwarna hitam atau coklat kemerah-merahan.

Saiznya pula boleh dikatakan sebenar hujung pin. Bagaimanapun, apabila sudah menghisap darah si mangsa, saiznya boleh 'mengembang' seperti sebiji guli.

Bagi mereka yang pernah melalui 'pengalaman ngeri' telinga dimasuki kutu babi pasti tahu rasa tidak selesa. Apatah lagi, kakinya serangga itu yang mencengkam kuat menyebabkan pendarahan dan kesakitan yang teruk.

KUTU babi menjadi mimpi ngeri bagi mereka yang pernah merasai pengalaman ia berada  dalam lubang telinga.
KUTU babi menjadi mimpi ngeri bagi mereka yang pernah merasai pengalaman ia berada dalam lubang telinga.

Pakar Perunding Telinga, Hidung & Tekak (ENT) Hospital Pakar Avisena, Dr Iqbal Farim Rizal Wong menerusi laman Instagramnya @ doc_iqbal_ent menjelaskan, kutu babi adalah serangga yang mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia jika ia tidak dikeluarkan dengan segera.

Katanya, kebiasaannya pesakit berasa sakit dalam telinga dalam tempoh beberapa hari dan turut dapat berasakan sesuatu yang bergerak dalam rongga berkenaan.

"Sekiranya terdapat rasa seperti itu, jangan dibiarkan atau berasakan mungkin telinga tersumbat kerana air. Terus berjumpa pakar ENT untuk melihat situasi sebenar dalam telinga.

"Pemeriksaan ini penting kerana kita tidak mahu kutu babi terus melukakan tisu dalam telinga. Lebih membimbangkan ia boleh menjadi pengantara penyebaran virus atau bakteria daripada haiwan yang pernah dihinggap sebelum itu, sama seperti nyamuk," katanya.

Dr Iqbal berkata, individu yang sering melakukan aktiviti luar, masuk dalam hutan atau tinggal berhampiran kawasan ternakan perlu berhati-hati kerana serangga itu mudah didapati di lokasi seperti itu.

"Kutu babi ini menjadikan darah sebagai diet mereka. Jadi, apabila ada lokasi penternakan misalnya, serangga ini berpotensi untuk berada di kawasan itu bagi mendapatkan makanan.

PROSEDUR mengeluarkan najis dan kutu babi dalam telinga.
PROSEDUR mengeluarkan najis dan kutu babi dalam telinga.

"Apabila manusia pula tinggal di kawasan yang berhampiran, kadangkala ketika tidur tidak sedar serangga ini sudah merayap masuk dalam lubang telinga atau rongga yang lain," katanya.

Tambahnya, apabila kutu babi masuk dalam telinga, ia tidak mudah dikeluarkan sendiri oleh pesakit kerana kakinya yang mencengkam kuat pada kulit dalam telinga.

"Jadi, pakar ENT akan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan serangga itu terutama kakinya yang kuat mencengkam pada kulit telinga yang mengakibatkan pendarahan dalaman. Untuk kanak-kanak, biasanya mereka perlu dibius untuk membersihkan telinga dari kutu dan najis kutu.

"Untuk mengeluarkan kaki yang melekat pada kulit ini juga menyebabkan pesakit akan berasa agak tidak selesa terutama apabila sudah berlaku pendarahan," katanya.

Tambahnya, kutu babi juga boleh merayap masuk sehingga ke gegendang telinga dan merosakkan bahagian itu. Gegendang telinga mempunyai fungsi memisahkan telinga luar dari telinga tengah (yang mempunyai struktur penting). Fungsi gegendang juga antaranya, melindungi telinga tengah daripada cuaca sejuk, angin dan tahi telinga selain fungsi utamanya iaitu menyampaikan gelombang bunyi ke telinga dalam.

BERJUMPA pakar ENT untuk mendapatkan rawatan secepatnya.
BERJUMPA pakar ENT untuk mendapatkan rawatan secepatnya.

"Kutu babi juga boleh membuang najis dalam telinga manusia. Perkara ini sering dapat dilihat pakar ENT apabila melakukan pemeriksaan dalam telinga. Najis kutu babi berwarna hitam seperti telur serangga. Najis ini mengandungi bakteria yang bahaya dan mesti dicuci dari telinga dengan sempurna.

"Tidak mustahil juga kutu babi mampu bertelur sekiranya sebelum merayap masuk dalam telinga ia sudah mempunyai telur. Perkara ini lebih berbahaya kerana telinga akan menjadi tempat pembiakannya," katanya.

Pakar itu berkata, jika pesakit lewat mendapatkan rawatan, mereka juga boleh mengalami masalah kesihatan yang lebih buruk iaitu penyakit Lyme. Penyakit itu menyebabkan pesakit boleh mengalami masalah seperti jangkitan otak, masalah memori, leher kaku atau sendi bengkak. Ia berpunca dari jangkitan bakteria dari gigitan kutu.

Lebih parah katanya, apabila kutu babi masuk dalam telinga kanak-kanak. Justeru, apabila anak-anak memaklumkan rasa tidak selesa atau sakit yang teruk pada telinga dinasihatkan terus dirujuk kepada pakar ENT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 7:01 AM