PUTIK kapas dikeluarkan menggunakan penyepit. - Daily Mail
PUTIK kapas dikeluarkan menggunakan penyepit. - Daily Mail

London: Seorang lelaki menderita selama dua tahun apabila cebisan putik kapas tertinggal di dalam telinganya.

Kejadian itu didedahkan pakar radiologi yang mengendalikan klinik di Leicestershire, Neel Raithatha selepas berjaya mengeluarkan putik kapas terbabit.

Pendengaran lelaki itu turut terjejas akibat kejadian berkenaan.

Raithatha yang menjalankan prosedur rumit untuk mengeluarkan putik kapas itu turut memuat naik klip video berkenaan di laman YouTube.

Menerusi klip video itu, dia berkata, pesakit mengadu pendengarannya kurang jelas pada telinga kanan.

“Dia bernasib baik kerana gegendang telinganya sihat dan ia mengambil masa sekitar satu minit untuk mengeluarkannya.

“Prosedurnya amat rumit memandangkan cebisan putik kapas itu berada berhampiran gegendang telinga.

“Saya perlu pastikan ia dilakukan secara berhati-hati kerana jika tidak, saya boleh tercucuk gegendang telinga,” katanya.

Pesakit mendapatkan bantuan di klinik itu kerana mengadu terlalu sakit di dalam telinga ketika berenang.

Raithatha mula terkenal sejak beberapa bulan lalu selepas memuat naik videonya mengeluarkan tahi telinga hingga menjadi tular di laman sosial.

Dia kini mempunyai hampir 60,000 pelanggan yang menonton klip videonya di YouTube. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 2:08 AM