KHAIRUL Azhari Saut. FOTO NSTP
KHAIRUL Azhari Saut. FOTO NSTP
Fahmy A Rosli


Hulu Selangor: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut menyifatkan dakwaan beliau berhutang dengan Ah Long sebagai fitnah jahat.

Sambil menafikan perkara itu, pemangku Ketua BERSATU Hulu Selangor itu mengakui ada berhutang untuk perniagaannya seperti orang lain namun bukan dengan Ah Long.

"Ini adalah satu fitnah jahat seperti yang telah berlaku pada penamaan calon minggu lalu.

"Saya diserang apabila wartawan bertanyakan kepada saya mengenai sijil kelayakan akademik saya. Bukan saya tidak mahu komen tapi bukan masanya ketika itu dan saya tidak menipu.

"Termasuk yang baharu ini, saya ada perniagaan sendiri dan saya rasa orang berniaga semua ada hutang. Saya ada hutang rumah, kereta dan tidak mengatakan saya tidak ada hutang. Yang penting bukan hutang dengan Ah Long.

"(Kalau) hutang dengan Ah Long kad bank (pun) dipegang, kita tidak ke mana, rumah kena simbah cat tapi itu bukan saya," katanya kepada media selepas Pelancaran Wanita Gempur PN di Batang Kali, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.

Mengulas tempias diterima susulan dakwaan yang tular mengenainya, Khairul menganggap serangan peribadi seperti itu yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab adalah tidak baik untuk sistem pilihan raya negara ini.

"Pada saya serangan peribadi, caci maki calon tidak kisah daripada (pihak) mana tidak baik untuk sistem pilihan raya," katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial menerusi hantaran yang mempersoalkan bagaimana Khairul memiliki hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat kredit komuniti.

Mengikut hantaran yang tular itu, ada pihak yang mempertikai kewibawaan Khairul untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu kerana gagal membayar hutang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:26 PM