SEBAHAGIAN badan lipas yang dikeluarkan daripada telinga Katie. FOTO Katie Holley
SEBAHAGIAN badan lipas yang dikeluarkan daripada telinga Katie. FOTO Katie Holley
Agensi

Florida: Seorang wanita mengalami pengalaman mengerikan selepas telinganya dimasuki lipas selama sembilan hari sebelum keseluruhan serangga berkenaan dikeluarkan sepenuhnya.

Katie Holley yang menulis pengalaman itu dalam majalah SELF berkata, kira-kira sebulan lalu dia bangun pada tengah malam selepas merasa seperti seseorang memasukkan ais ke dalam lubang telinga kirinya.

Dia kemudian memasukkan putik kapas ke dalam telinganya dan berasa seperti ada pergerakan.

“Selepas menarik keluar putik kapas terbabit, saya menemui dua ‘kaki’ yang sangat kecil melekat di hujungnya. Saya meminta suami membantu memeriksanya dan mendapati terdapat lipas di telinga saya,” tulisnya.

Malangnya, serangga itu sukar dikeluarkan menyebabkan Katie terpaksa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Di hospital, doktor menyapu ubat kebas di telinganya untuk membunuh lipas berkenaan sebelum mengeluarkan tiga bahagian badan serangga itu. Dia pulang ke rumah selepas doktor memberikan ubat antibiotik.

Bagaimanapun, selepas sembilan hari Katie masih berasa sakit di telinga dan berjumpa semula dengan doktor yang kemudian mengeluarkan enam lagi bahagian badan lipas terbabit.

Katie dirujuk kepada pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) untuk memastikan tiada lagi sisa yang tertinggal.

“Lebih mengejutkan apabila pakar terbabit mengesahkan masih terdapat sisa serangga itu di dalam telinga saya.

“Dengan menggunakan peralatan yang kelihatan seperti gunting besar, pakar terbabit mengeluarkan kepala, anggota badan lain dan sesungut,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 9:56 AM