PEMERIKSAAN telinga bahagian luar menggunakan mikroskop di klinik ENT.
PEMERIKSAAN telinga bahagian luar menggunakan mikroskop di klinik ENT.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


JANET Wong menyedari terdapat satu bunyi dengungan yang aneh dalam telinganya, terutama di telinga kanan. Masalah dialami wanita berusia 45 tahun ini bermula sejak Januari lalu.

Menurutnya, pada peringkat awal, dia mengabaikannya kerana menganggap ia perkara biasa dan meneruskan tugas harian sebagai seorang guru.

"Bagaimanapun, lama-kelamaan bunyi itu menjadi semakin kuat dan saya mendapati deria pendengaran telinga kanan semakin merosot.

"Saya bimbang dengan keadaan ini, lalu mengambil keputusan berjumpa pakar telinga, hidung dan tekak (ENT).

"Pakar terbabit mengesyorkan supaya menjalani beberapa ujian termasuk Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak," katanya.

Pakar Bedah ENT Sunway Medical Centre Velocity, Dr Tang Mee Ling berkata, bunyi atau dengungan pada telinga adalah masalah yang biasa dialami masyarakat.

"Bagaimanapun, sebilangan yang mengalami masalah ini adalah isyarat kepada pesakit supaya segera mendapatkan penilaian lanjut daripada pakar ENT tekak atau otorinolaringologi.

"Kehilangan pendengaran ini selalunya terjadi dalam tempoh beberapa tahun.

"Kebanyakan pesakit otorinolaringologi, mungkin tidak menyedari masalah pendengaran dialami kerana ia berlaku secara perlahan-lahan dan tidak menyebabkan sebarang kesakitan," katanya.

Dr Tang berkata, berdasarkan gejala itu, berkemungkinan Janet Wong mengalami masalah tinitus iaitu bunyi atau dengungan pada telinga.

Katanya, ia berpunca daripada pendedahan kepada bunyi dalam tempoh panjang yang boleh merosakkan saraf pendengaran.

"Masalah tinitus mungkin terjadi sama ada secara berterusan atau dengungan itu berlaku sekali-sekala.

"Gejala dialami pesakit pula mungkin agak ringan, tidak membimbangkan dan dalam kebanyakan kes ia boleh ditangani.

"Kesan yang paling teruk dialami pesakit ialah menyebabkan kehidupan harian dan waktu tidur terganggu," katanya.

Menurut Dr Tang, penyakit ini bertukar menjadi membimbangkan sekiranya disertai gejala lain seperti daya pendengaran berkurangan, sakit kepala dan otot muka menjadi lemah yang berpanjangan dalam jangka masa panjang.

"Ada pula mengalami gejala seperti kegatalan dalam lubang telinga yang mungkin disebabkan terdapat banyak tahi telinga berkumpul, hingga perlu disedut bagi membersihkan lubang telinga dan memulihkan pendengaran.

"Dalam kes yang lain, tinitus juga boleh menyebabkan satu gejala cecair terkumpul di belakang gegendang telinga (middle ear effusion) yang mempunyai kaitan dengan penyempitan di lubang hidung atau wujudnya ketumbuhan nasofarinks dalam hidung," katanya.

Sementara itu Dr Chai Chiun Kian berkata, golongan muda yang gemar mendengar muzik dengan kuat atau pekerja perindustrian tidak memakai pelindung telinga, berisiko mengalami masalah kehilangan pendengaran disebabkan pendedahan kepada bunyi bising tinggi itu.

AUDIOLOGIS melakukan satu penilaian pendengaran formal di makmal audiologi.
AUDIOLOGIS melakukan satu penilaian pendengaran formal di makmal audiologi.

Beliau yang juga pakar bedah ENT di Sunway Medical Centre Velocity berkata, masalah kehilangan pendengaran dialami warga emas pula disebabkan oleh proses penuaan iaitu presbiakusis.

"Di klinik ENT, menyediakan beberapa komponen rawatan untuk pesakit.

"Melalui sesi temu bual, pakar bedah ENT akan merekodkan sejarah gejala dialami pesakit dan melakukan beberapa pemeriksaan klinikal.

"Ini termasuk pemeriksaan saluran lubang dan gegendang telinga, sama ada menggunakan mikroskop atau endoskop.

"Ada kalanya turut melakukan pemeriksaan hidung apabila mengesyaki masalah itu membabitkan bahagian telinga tengah," katanya.

Dr Chai berkata, ujian audiometri nada tulen (mengukur tahap pendengaran) turut dilakukan ke atas pesakit, bagi mengenal pasti sebarang masalah pendengaran yang mempunyai kaitan dengan tinitus.

"Hasil ujian ini, membantu pemilihan rawatan yang bersesuaian bagi menangani masalah tinitus.

"Ini termasuk penggunaan ubat dan 'masking device' yang mungkin membantu sesetengah pesakit," katanya.

Katanya, kebanyakan punca kes tinitus adalah tidak berbahaya, biasanya disebabkan oleh kecederaan atau degenerasi saraf auditori (saraf telinga).

"Bagaimanapun, tinitus dengan kehilangan pendengaran telinga sebelah, tinitus dengan vertigo dan tinitus bersifat denyutan, mungkin menandakan punca yang lebih serius serta perlu diberikan perhatian lanjut.

"Ujian imbasan MRI otak akan disyorkan kepada pesakit yang mengalami masalah kehilangan pendengaran sebelah telinga, memandangkan satu hingga tiga peratus masalah ini disebabkan oleh neuroma akustik.

"Dalam kes neuroma akustik iaitu sejenis ketumbuhan saraf pendengaran di otak, maka diagnosis ini memerlukan perundingan daripada pakar bedah neuro,"katanya.

Beliau berkata, pakar bedah neuro akan mengesyorkan pilihan rawatan berdasarkan penemuan daripada hasil ujian imbasan MRI.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Bedah Neuro Dr Gerard Arvind Martin berkata, amat penting memberikan perhatian kepada kesan ketumbuhan itu kepada otak,selain daripada tinitus.

Beliau berkata, ini kerana ketumbuhan itu boleh menyebabkan masalah kehilangan pendengaran.

Jelasnya, selain itu kesan yang teruk ialah otot muka dan badan menjadi lemah, ketidakseimbangan tubuh dan sakit kepala disebabkan oleh pengumpulan cecair di dalam otak.

"Selepas pembedahan, pakar bedah saraf kemudian akan memilih untuk melakukan rawatan radiosurgeri atau radioterapi bersama pakar onkologi sebagai sebahagian rawatan lanjutan kepada pesakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:00 AM