GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Gara-gara putus cinta, seorang lelaki di China sanggup berlutut di luar pejabat bekas kekasihnya selama 21 jam demi memenangi semula hati wanita itu, lapor NDTV.

Perbuatan itu dilakukan kerana dia dikatakan tidak bersedia untuk melepaskan bekas kekasihnya.

Menurut South China Morning Post, lelaki terbabit melutut selama 21 jam dalam hujan di luar pejabat wanita itu di Dazhou, untuk memohon kembali kepadanya.

Gambar dan video kejadian itu tersebar di media sosial China dengan ramai mengatakan tindakannya adalah red flag (tanda amaran).

Menurut laporan, lelaki itu melutut di luar pintu masuk bangunan dari 1 tengah hari, pada 28 Mac sehingga 10 pagi keesokannya.

Dalam keadaan hujan dan kesejukan, lelaki itu berlutut sambil memegang sejambak bunga ros menunggu bekas teman wanitanya berubah fikiran.

Orang ramai berkumpul di sekelilingnya dan memintanya supaya berputus asa, lapor media video Jiupai News.

"Ramai di antara kami cuba mengajaknya pergi. Tidak perlu terus melutut. Teman wanita itu tidak bersedia untuk muncul tetapi dia masih di sini," kata seorang lelaki bernama Li.

Situasi pelik itu menarik perhatian ramai sehingga polis tiba di tempat kejadian dan cuba memujuknya.

Bagaimanapun, dia tidak berputus asa dan bertanya kepada polis sama ada tindakannya itu salah dan jika tidak, tinggalkannya sendirian.

Seorang pegawai polis memaklumkan mereka berpisah beberapa hari lalu dan lelaki itu sedang memohon maaf.

Lelaki itu akhirnya pergi pada 10 pagi pada 29 Mac selepas tidak dapat menahan kesejukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:43 PM