IWAO Hakamada. FOTO AP
IWAO Hakamada. FOTO AP
AP

Tokyo: Mahkamah Tinggi Tokyo semalam, memerintahkan perbicaraan semula terhadap bekas peninju berusia 87 tahun yang dijatuhi hukuman mati, lima dekad lalu.

Perbicaraan semula itu berikutan sabitan pembunuhan bekas peninju itu dikatakan peguamnya berdasarkan pengakuan paksa dan bukti palsu.

Mahkamah Tinggi Tokyo berkata, Iwao Hakamada berhak dibicarakan semula kerana kemungkinan bukti utama yang membawa kepada sabitannya dipalsukan oleh penyiasat, menurut kenyataan Persatuan Peguam Jepun.

Amnesty International berkata, Hakamada ialah banduan hukuman mati yang paling lama menanti hukuman itu di dunia.

Dia dibebaskan buat sementara waktu sejak 2014, tetapi masih tidak dibebaskan daripada tuduhan.

Peguam belanya, yang dilihat keluar dari bilik mahkamah mengibarkan sepanduk bertulis Perbicaraan Semula dengan merujuk keputusan mahkamah, semalam.

"Kami memenangi tuntutan untuk perbicaraan semula Hakamada. Saya sangat gembira dan itu saja yang boleh saya katakan," kata kakaknya, Hideko, 90, yang mengabdikan hidupnya untuk membuktikan adiknya tidak bersalah.

Hakamada disabitkan membunuh seorang pengurus syarikat dan tiga ahli keluarganya pada 1966 dan membakar rumah mereka di tengah Jepun, di mana dia adalah pekerja yang tinggal di situ.

Dia dijatuhi hukuman mati, dua tahun kemudian.

Pada mulanya, dia menafikan tuduhan itu kemudian mengaku salah, namun kemudiannya berkata, pengakuannya kerana dipaksa kerana soal siasat ganas oleh polis.

Mahkamah Agung mengambil masa 27 tahun untuk menolak rayuan pertamanya untuk perbicaraan semula.

Dia memfailkan rayuan kedua pada 2008 sebelum mahkamah akhirnya membuat keputusan yang memihak kepadanya pada Khamis.

Perkara yang menjadi pertikaian ialah lima helai pakaian berlumuran darah yang dikatakan oleh penyiasat yang dipakai Hakamada semasa kejadian itu dan bersembunyi dalam tangki pes kacang soya yang ditapai, atau miso, ditemukan lebih setahun selepas penahanannya.

Keputusan Mahkamah Tinggi Tokyo pada Isnin mengakui eksperimen saintifik bahawa pakaian yang direndam dalam miso selama lebih daripada setahun menjadi terlalu gelap untuk kesan darah dilihat pada pakaian berkenaan.

Hakamada menjalani hukuman di rumah sejak dibebaskan pada 2014 kerana kesihatan dan usianya yang lemah menyebabkan dia berisiko rendah untuk melarikan diri.

Penyokong mengatakan kesihatan mental Hakamada sudah terjejas kerana penahanannya hampir setengah abad, kebanyakannya dalam kurungan bersendirian kerana takut hukuman mati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 11:43 AM