TUKANG menggunakan gentian kaca untuk membaiki bot nelayan. FOTO AFP
TUKANG menggunakan gentian kaca untuk membaiki bot nelayan. FOTO AFP
AFP

Gaza: Selepas 15 tahun disekat Israel, penduduk Palestin yang bergantung kepada mata pencarian di laut menemukan sinar apabila industri perikanan kembali bernyawa.

Juruteknik, Mohammed Jerboa berkata, akhirnya dia berpeluang membaiki bot nelayan selepas Israel mengharamkan beberapa bahan penting pembuatan bot selama 15 tahun.

"Ini pencapaian hebat. Saya mula bekerja di bengkel ini dua minggu lalu dan ia memberi peluang pekerjaan kepada kami," katanya selepas mengikis cat pudar pada bot.

Dia sebahagian antara pasukan pekerja yang menampal bot dengan kepingan gentian kaca baharu yang diimport.

Bahan itu dilarang daripada memasuki kawasan Palestin sejak 2007 kerana ia antara beberapa item yang dianggap Israel boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan oleh pejuang Gaza.

Sekatan itu menyebabkan nelayan bergelut selama bertahun-tahun untuk meneruskan kehidupan mereka dengan keadaan bot daif sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi perantara perjanjian yang membolehkan bengkel gentian kaca dikawal selia.

Selepas berbulan-bulan rundingan dengan pegawai Palestin dan Israel, PBB mencapai perjanjian yang membenarkan gentian kaca yang cukup untuk 10 bot memasuki Gaza pada satu-satu masa.

Pegawai penyelaras Pejabat Perkhidmatan Projek PBB, Manal al-Najjar yang mengendalikan projek infrastruktur berkata, kira-kira 300 bot perlu dibaik pulih.

"Proses baik pulih mengambil masa dua minggu hingga sebulan untuk setiap 10 bot.

"Setakat ini nelayan gembira dengan projek ini kerana kos membaikinya sangat berpatutan dan kualiti bahannya juga bagus," katanya.

Nelayan, Saleem al-Assi adalah antara kumpulan pertama dipilih untuk projek itu berkata, kekurangan peralatan dan barangan penting menyebabkan periuk nasi mereka terjejas.

"Sudah lapan tahun bot saya tidak berfungsi kerana memerlukan banyak gentian kaca.

"Saya bersyukur terpilih kerana ratusan nelayan memohon tetapi bukan semua dapat kerana projek itu terhad.

"Jadi, saya mengharapkan projek gentian kaca itu diperluaskan kerana ramai lagi nelayan termasuk sembilan bot keluarga saya tidak dapat dibaiki," katanya.

Sebagai sebahagian daripada sekatan Israel ke atas Gaza yang dikenakan pada 2007 selepas kumpulan pejuang Hamas mengambil alih kuasa, tentera laut menguatkuasakan zon memancing yang mengehadkan tangkapan.

Berdasarkan Bank Dunia, kadar pengangguran di Gaza mencecah hampir 50 peratus sekali gus menjadikannya sebagai tertinggi di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 1:37 PM