Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab menyoal empat lelaki Indonesia yang ditahan. - Foto MUHAMAD ZUHARI ZUBIR
Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab menyoal empat lelaki Indonesia yang ditahan. - Foto MUHAMAD ZUHARI ZUBIR
Zairee Mohd Yasak

Melaka: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 5, menahan empat rakyat Indonesia dan seorang lelaki yang belum diketahui status kerakyatan berusia 27 hingga 38 tahun selepas disyaki terbabit dalam aktiviti mencuri peralatan nelayan tempatan, termasuk enjin bot.

Mereka ditahan di tujuh batu nautika Tanjung Tuan, Alor Gajah, 4.02 pagi tadi, ketika cuba meloloskan diri ketika dikejar bot APMM.

Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 5, Kuala Linggi, Kapten Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, sebuah bot diarah melakukan pemeriksaan selepas mendapat aduan mengenai kehadiran bot gentian kaca dinaiki beberapa orang dalam keadaan mencurigakan.

"Selepas 20 minit mengejar, kami berjaya memintas bot dinaiki suspek dan pemeriksaan mendapati empat rakyat Indonesia manakala seorang lagi mengaku rakyat tempatan namun gagal menunjukkan dokumen sah.

"Seorang suspek cedera di kepala akibat terjatuh dari bot ketika melarikan diri dan kini dirawat di Hospital Melaka," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan direman tujuh hari bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2016 @ 7:53 PM