LAPANGAN terbang di Damsyik, Syria. FOTO fail AFP
LAPANGAN terbang di Damsyik, Syria. FOTO fail AFP
AFP

Damsyik: Tentera Zionis melancarkan serangan di beberapa lokasi di bandar Damsyik, awal pagi hari ini, menurut Kementerian Pertahanan Syria.

Serangan itu adalah yang ketiga dilancarkan Israel dalam tempoh seminggu.

Ratusan serangan udara dilancarkan Israel ke atas wilayah Syria sejak perang saudara meletus di sana pada 2011.

Serangan itu menyasarkan lokasi penempatan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

Letupan kedengaran di ibu negara Syria pada malam Rabu hingga Khamis, lapor wartawan AFP.

"Pada 12.30 tengah malam, Israel melancarkan serangan udara dari arah wilayah Palestin yang diduduki menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik," kata Kementerian Pertahanan Syria dalam satu kenyataan.

Tentera Syria bagaimanapun berjaya memintas beberapa serangan peluru berpandu, tambah kementerian itu.

Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan negara itu tidak mendedahkan butiran lanjut sasaran serangan yang ditujukan Zionis itu.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria yang berpangkalan di United Kingdom berkata, Israel menyasarkan serangan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik.

Namun, masih tidak jelas sama ada serangan yang dilancarkan itu dituju kepada tentera Syria atau pejuang pro-Iran.

Pada Isnin, Israel menyerang beberapa lokasi sekitar Damsyik menyebabkan seorang askar cedera.

Tiga hari sebelum itu, serangan menyasarkan pangkalan tentera Syria berhampiran lapangan terbang.

Walaupun jarang memberi respons untuk setiap serangan yang dilancarkan, Israel berulang kali berkata, ia tidak akan membenarkan Iran yang dianggap musuh utamanya terus bertapak di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 10:13 AM