TENTERA Israel di sempadan Israel-Syria di Bukit Golan (gambar fail). FOTO EPA
TENTERA Israel di sempadan Israel-Syria di Bukit Golan (gambar fail). FOTO EPA
BERNAMA

Damsyik: Serangan peluru berpandu yang dilancarkan Israel ke lokasi tentera di selatan Damsyik di Syria semalam, hanya menyebabkan kerosakan, lapor agensi berita Xinhua.

Serangan peluru berpandu itu dilancarkan sebelum tengah malam dari Bukit Golan yang diduduki Israel, lapor agensi berita SANA dengan memetik sumber ketenteraan.

Sasaran sebenar serangan dilancarkan rejim zionis itu belum dinyatakan.

Bedilan peluru berpandu itu adalah serangan terbaru dalam beberapa siri serangan yang menyasarkan lokasi tentera di Syria, termasuk yang disokong Iran.

Pada 18 November lalu, Israel melancarkan peluru berpandu ke lokasi tentera di selatan Damsyik menyebabkan kerosakan dan korban jiwa dalam kalangan pejuang yang disokong Iran dan tentera Syria.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Israel melancarkan ratusan serangan udara ke lokasi ketenteraan disokong Iran di Syria, termasuk konvoi menghantar senjata ke Hizbullah, pejuang Lubnan yang didakwa turut disokong Iran.

Israel melihat Iran sebagai musuh utama dan tidak akan membenarkan pengaruh dan sokongan Iran bertapak di Syria.

Israel dan Syria bersempadan di sepanjang dataran bukit Golan yang dirampas negara Yahudi itu dari Syria ketika perang Timur Tengah 1967 pada 1981.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 10:50 AM