KERETA kebal milik Israel dilihat di utara Israel berhampiran dengan sempadan Lubnan. Rejim zionis turut menerima ancaman daripada pejuang di Lubnan dan Syria. FOTO AFP
KERETA kebal milik Israel dilihat di utara Israel berhampiran dengan sempadan Lubnan. Rejim zionis turut menerima ancaman daripada pejuang di Lubnan dan Syria. FOTO AFP
AFP

Damsyik: Serangan Israel menyebabkan dua lapangan terbang utama Syria tidak beroperasi pada Khamis, kata media kerajaan Syria.

Ia adalah serangan pertama seumpama itu sejak serangan Hamas ke atas Israel pada Sabtu minggu lalu, yang mencetuskan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak.

Serangan Israel sudah berulang kali menyebabkan penerbangan di lapangan terbang di ibu kota Damsyik dan bandar utara Aleppo terhenti, kedua-duanya dikawal oleh kerajaan Syria yang dilanda perang.

Media kerajaan yang memetik sumber tentera berkata, serangan serentak itu merosakkan laluan pendaratan di kedua-dua lapangan terbang menyebabkan ia tidak dapat beroperasi.

Menurut kementerian pengangkutan Syria, penerbangan dialihkan melalui lapangan terbang Latakia di pantai Mediterranean.

Duta Israel ke Jerman, Ron Prosor, mengesahkan serangan di lapangan terbang Damsyik, dan berkata, ia bertujuan menggagalkan 'penghantaran senjata dari Iran'.

"Peluru berpandu ini, dron ini digunakan untuk menentang Israel," katanya dalam temu bual dengan penyiar Jerman, Die Welt.

Serangan terbaharu berlaku ketika pejuang Hamas dan tentera Zionis Israel berbalas tembakan untuk hari keenam, selepas ratusan lelaki bersenjata Hamas menyerbu merentasi sempadan dari Gaza ke Israel, pada Sabtu lalu, dan membunuh sekurang-kurangnya 1,200 orang.

Pada masa sama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken melawat Israel, juga beberapa jam selepas Presiden Iran Ebrahim Raisi dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Syria Bashar al-Assad menyeru negara Arab dan Islam untuk bekerjasama dalam menghadapi Israel.

Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian dijangka melawat wilayah itu dalam beberapa hari akan datang, termasuk Iraq pada Khamis, dan Lubnan kemudian untuk mempromosikan inisiatif Tehran.

Sumber tentera yang dipetik media kerajaan Syria menyifatkan serangan itu sebagai percubaan terdesak oleh rejim Zionis untuk mengalih perhatian daripada konflik Israel dengan Hamas di Gaza Palestin.

Kementerian Luar Syria mengutuk serangan itu sebagai percubaan Israel untuk 'mengeksport krisisnya' ketika ini di luar.

Selama lebih sedekad perang di Syria, Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara, terutamanya menyasarkan pasukan yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah Lubnan serta kedudukan tentera Syria.

Israel jarang mengulas mengenai serangan individu yang dilakukannya ke atas Syria, tetapi ia berulang kali berkata, tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran, yang menyokong kerajaan pimpinan Presiden Bashar al-Assad, meluaskan kehadirannya.

Iran, yang menyokong Hamas, pada Sabtu meraikan serangan Hamas ke atas Israel, walaupun ia menegaskan ia tidak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 10:09 AM