PEMAIN dan pegawai Arema FC berdoa di Stadium  Kanjuruhan. FOTO AFP
PEMAIN dan pegawai Arema FC berdoa di Stadium Kanjuruhan. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia akan memberi pampasan sekurang-kurangnya 50 juta rupiah (RM15,205) kepada keluarga 125 mangsa yang terkorban dalam insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu lalu, kata seorang menteri kanan.

Jakartapost melaporkan, pejabat Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) berhasrat memberikan sumbangan itu dalam masa satu atau dua hari lagi.

Sebelum ini, Jokowi dilaporkan berkata, beliau mahu siasatan penuh dijalankan berhubung tragedi berkenaan.

Beliau dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen mengarahkan Menteri Belia dan Sukan, Ketua Polis Negara dan Ketua Persatuan Bola Sepak Indonesia supaya menjalankan penilaian menyeluruh terhadap perlawanan bola sepak dan prosedur keselamatan.

"Saya amat kesal dengan tragedi ini dan berharap ia akan menjadi yang terakhir di negara kita," katanya.

Tragedi pada malam Sabtu di bandar Malang itu tercetus selepas pegawai melepaskan gas pemedih mata di dalam stadium yang penuh sesak untuk menyuraikan kekecohan padang hingga mengakibatkan rempuhan sesama penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 12:27 PM