ORANG ramai memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban akibat insiden rempuhan di Stadium  Kanjuruhan. FOTO AFP
ORANG ramai memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban akibat insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Etik duduk bersila di atas lantai hospital dalam keadaan cemas, menunggu anak perempuannya kembali sedar selepas terbabit dalam insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Sabtu lalu.

"Ini kali pertama dia (pergi menonton perlawanan bola sepak)," kata Etik sambil menahan sebak di luar Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saiful Anwar di tengah Malang, Jawa Timur.

Jakartapost melaporkan, anak perempuannya, Dian Puspita, 21, seorang daripada penonton yang hampir maut selepas polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam stadium yang penuh sesak untuk menyuraikan kekecohan padang hingga mengakibatkan rempuhan sesama penyokong.

Rempuhan menyebabkan sekurang-kurangnya 131 terbunuh, dengan lebih 300 cedera.

Pada malam kejadian, Etik risau apabila anak perempuannya tidak pulang ke rumah.

"Saya menghubunginya tetapi dia tidak mengangkatnya," katanya.

Dia kemudian bergegas ke hospital selepas rakan Puspita memaklumkan mengenai insiden itu.

Sebaik tiba di jabatan kecemasan hospital, dia melihat anak perempuannya terbaring di atas katil dengan bahu patah dan muka merah serta bengkak.

"Saya tidak sangka perkara ini akan berlaku," kata Etik, yang menunggu selama 12 jam di hospital itu pada Ahad.

Ketika Etik dibenarkan melawat anaknya, dia memegang tangan Puspita dan membisikkan kata-kata semangat serta berharap ia bukan yang terakhir dia berbuat demikian.

"Awak mesti kuat, dan akan sedar tidak lama lagi," katanya.

Di hospital sama, Irgi Firdiansah, 20, masih ingat saat dia menyelamatkan Puspita daripada rempuhan penyokong, ketika mereka bergelut untuk menyelamatkan diri.

"Ia (kawasan stadium) dipenuhi asap. Saya tidak nampak apa-apa," katanya sambil mengalirkan air mata.

Firdiansah berkata, gas pemedih mata itu seolah-olah ditujukan terus kepada penonton.

Katanya, ketika orang ramai mulai panik, dia ditolak dan tidak boleh bergerak, sekali gus menyebabkannya terperangkap.

Tangannya lebam akibat dipijak, bagaimanapun dia sempat memegang Puspita dan berjaya membawanya keluar dari kawasan stadium untuk menyelamatkan diri.

"Saya terus memegang Puspita walaupun saya tidak tahu bagaimana keadaannya," katanya dengan suara perlahan ketika menceritakan pengalaman ngeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 4:33 PM