HU terbang kira-kira 300 km selepas belon hidrogen itu hilang kawalan. FOTO Agensi
HU terbang kira-kira 300 km selepas belon hidrogen itu hilang kawalan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang lelaki di China 'menjelajah' 300 kilometer selepas belon hidrogen yang digunakan untuk mengutip kacang pain (pine nut) hilang kawalan, Ahad lalu.

Lelaki yang dikenali sebagai Hu itu, ditemukan dua hari kemudian, di dalam hutan.

Ketika kejadian, Hu bersama rakannya bekerja di sebuah ladang di daerah Hailin, wilayah Heilongjiang.

Belon yang mereka naiki kemudian hilang kawalan dan rakannya sempat melompat untuk menyelamatkan diri.

Namun Hu tidak sempat berbuat tindakan yang sama dan 'terbang' bersama belon itu selama dua hari.

Lelaki itu hanya ditemui Selasa lalu, kira-kira jam 9 pagi, selepas pihak berkuasa berjaya mengesan isyarat telefon bimbitnya.

Seramai 500 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada polis dan bomba terbabit dalam operasi pencarian.

Pencarian itu kemudian berjaya menemui belon yang dinaiki mangsa tersangkut pada pokok, lapor Global Times.

"Saya sudah hampir berputus asa. Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang berusaha mencari saya.

"Jika tidak ditemui, mungkin saya sudah mati," kata Hu kepada wartawan

Hu berkata, sepanjang 'penerbangannya' dia kelaparan dan kesejukan namun bersyukur tidak mengalami kecederaan serius.

Pasukan perubatan yang menjalankan rawatan mengesahkan Hu selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di pinggang.

Penggunaan belon hidrogen untuk mengutip kacang pain sudah menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun lalu.

Sepanjang penggunaan kaedah itu, terdapat beberapa kejadian sama yang dilaporkan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 12:23 PM