WANITA memerhatikan laporan pelancaran peluru berpandu Korea Utara yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan. FOTO Reuters
WANITA memerhatikan laporan pelancaran peluru berpandu Korea Utara yang disiarkan stesen televisyen Korea Selatan. FOTO Reuters
Reuters

Seoul: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan lapan peluru berpandu selama 10 minit pada awal Isnin. di luar pantai timur Korea Selatan.

Ia susulan serangan peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Korea Utara pada Ahad, kata seorang pegawai kementerian pertahanan Korea Selatan.

Tindakan itu adalah demonstrasi keupayaan dan kesediaan untuk melakukan serangan tepat terhadap sumber pelancaran peluru berpandu Korea Utara atau pusat arahan dan sokongan, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap yang memetik tentera Korea Selatan.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol, yang baru memegang jawatan bulan lalu berikrar untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap Korea Utara sebagai tanda sokongan terhadap AS.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden pada sidang kemuncak Mei di Seoul menyatakan usaha negaranya untuk meningkatkan latihan ketenteraan bersama.

Peluru berpandu balistik jarak dekat Korea Utara, yang dilepaskan ke arah laut di luar pantai timurnya pada hari Ahad kemungkinan ujian tunggal terbesarnya, sehari selepas Korea Selatan dan AS menamatkan latihan ketenteraan bersama.

Korea Selatan dan AS mengadakan latihan dua hala membabitkan kapal pengangkut pesawat AS buat kali pertama dalam tempoh lebih empat tahun.

Jepun dan AS juga menjalankan latihan ketenteraan bersama, pada Ahad, sebagai tindak balas kepada ujian peluru berpandu Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 9:35 AM