PENGAWAL di luar Kedutaan AS di Beijing. FOTO AP
PENGAWAL di luar Kedutaan AS di Beijing. FOTO AP
Agensi

Taipei: Lebih 20 pesawat tentera China terbang ke zon pertahanan udara Taiwan, pada Selasa.

Berita itu disahkan pegawai di Taipei, ketika Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi memulakan lawatan kontroversinya ke Taiwan yang dianggap Beijing sebagai wilayahnya.

"21 pesawat PLA memasuki ADIZ barat daya #Taiwan pada 2 Ogos 2022," kata Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan di Twitter merujuk kepada zon pengenalan pertahanan udara (Adiz).

Adiz tidak sama dengan ruang udara wilayah Taiwan tetapi ia termasuk kawasan jauh lebih besar yang bertindih dengan sebahagian daripada zon pengenalan pertahanan udara China.

Pelosi mendarat di Taiwan, pada petang Selasa, dan susulan itu, ia mendapat amaran daripada China yang menyebabkan ketegangan antara dua kuasa besar dunia itu.

Kedua dalam barisan kepimpinan AS selepas presiden, Pelosi adalah pegawai AS terpilih berprofil tertinggi untuk melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun.

Beijing menjelaskan ia menganggap kehadirannya sebagai provokasi.

Siaran langsung menunjukkan ahli parlimen berusia 82 tahun itu, yang terbang dengan pesawat tentera AS, disambut di Lapangan Terbang Songshan Taipei oleh Menteri Luar Joseph Wu.

"Lawatan delegasi kami ke Taiwan menghormati komitmen AS yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong demokrasi (Taiwan)," katanya dalam satu kenyataan sejurus ketibaannya.

Taiwan berkata perjalanan itu menunjukkan sokongan dari Washington.

Tentera China berkata, ia berada dalam tahap berjaga-jaga dan akan melancarkan beberapa siri operasi ketenteraan yang bersasar sebagai tindak balas terhadap lawatan Pelosi ke Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 11:24 AM