FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Beijing: Mahkamah China baru-baru ini mengeluarkan keputusan kontroversi apabila memerintahkan seorang wanita membayar 3.79 juta yuan (kira-kira RM2.5 juta) kepada isteri kekasih gelapnya kerana menjadi orang ketiga dan menjalin hubungan yang tidak sah di sisi undang-undang.

Oddity Central melaporkan, menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rakyat Zhuanghe di Liaoning, timur laut China, plaintif, seorang wanita bernama Li sudah berumah tangga dengan suaminya, Wang sejak 1991.

Bagaimanapun, pada 2008, Wang menjalin hubungan sulit dengan wanita lain, yang dikenali dengan nama samaran Xiaoxia.

Beberapa tahun lalu, Li mengetahui hubungan sulit Wang selepas mendapati suaminya kerap mengirimkan sejumlah wang kepada Xiaoxia.

Wang mengakui hubungan sulitnya dan memberitahu Li dia juga mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun dengan Xiaoxia.

Bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan Wang memindahkan 1.47 juta yuan (kira-kira RM967,588) kepada kekasihnya antara 2013 dan 2020.

Wang turut membeli dua pangsapuri bernilai sejumlah 1.45 juta yuan (kira-kira RM954,424) dan menghadiahkan Xiaoxia sebuah kereta bernilai 870,000 yuan (kira-kira RM572,654).

Sementara itu, Xiaoxia memaklumkan dia tidak tahu Wang sudah berkahwin dan wang diterimanya selama ini adalah nafkah untuk anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 6:00 AM