WANG mendapati hanya tinggal 0.5 yuan dalam akaun banknya.
WANG mendapati hanya tinggal 0.5 yuan dalam akaun banknya.
Agensi

Beijing: Seorang gadis berusia 13 tahun di China yang ketagih dengan permainan mudah alih mencuri kad debit ibunya dan membelanjakan 449,500 yuan (RM290,000) dalam tempoh empat bulan untuk permainan aplikasi.

Asia News Network melaporkan, ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Wang mengesan kecurian itu apabila mendapat panggilan daripada guru sekolah menengah anak perempuannya yang menyedari bahawa gadis itu menghabiskan banyak masa di telefon bimbit.

Apa yang mengejutkan, Wang mendapati dia hanya tinggal 0.5 yuan (kira-kira RM0.30) dalam akaun banknya akibat anak perempuannya itu sakan berbelanja, lapor media China Elephant News.

Dalam video tular yang disiarkan dengan laporan berita itu, Wang, yang berasal dari wilayah Henan di tengah China, dilihat menangis ketika dia amat terkejut apabila melihat butiran transaksi.

Bapa gadis itu bertanyakan kepada anaknya sebelum gadis berkenaan mengaku membelanjakan 120,000 yuan (kira-kira RM77,633) untuk permainan, 210,000 yuan (kira-kira RM135,866) untuk pembelian dalam permainan dan 100,000 yuan (kira-kira RM64,691) lagi untuk membeli permainan untuk sekurang-kurangnya 10 rakan sekelasnya.

Gadis dalam video itu berkata, dia enggan membayar untuk rakan sekelasnya tetapi mengalah apabila mereka terus mengganggunya.

"Saya tidak berani memberitahu guru saya kerana dia akan memberitahu ibu bapa saya mengenai apa yang berlaku dan mereka akan marah," tambahnya.

Katanya, dia tidak faham berapa banyak wang dalam kad debit, atau bahawa dana itu adalah wang 'titik peluh' ibu bapanya.

Dia tahu kata laluan kad itu kerana ibunya sudah memberikannya kepadanya sekiranya dia memerlukan wang ketika tiada sesiapa di rumah.

Wang berkata, anak perempuannya memadam semua rekod transaksi pada telefon bimbitnya, jadi dia tidak menyedari apa yang berlaku sehingga dia mendapat panggilan daripada guru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 3:00 PM