MAJIKAN di China yang masih membayar gaji pekerjanya yang sudah meninggal dunia. FOTO Agensi
MAJIKAN di China yang masih membayar gaji pekerjanya yang sudah meninggal dunia. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Seorang majikan di China disifatkan sebagai 'permata sukar dicari' apabila tetap membayar gaji pekerjanya yang sudah meninggal dunia.

Bayaran gaji berjumlah 800 yuan (kira-kira RM520) itu diberikan kepada balu dan keluarga bekas pekerjanya, Chen yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 2020.

Majikan dikenali Wang Feng sehingga kini masih membayar gaji itu kepada keluarga terbabit sejak tiga tahun lalu.

Wang berkata, jumlah itu mungkin tidak banyak tetapi ia cukup untuk mereka menampung keperluan harian mereka.

Menurutnya, dia berbuat demikian supaya keluarga itu dapat bertahan dalam menghadapi krisis kewangan ketika ini, namun persoalannya berapa lama dia dapat berbuat demikian.

Menurut CNNB, Wang hanya akan berhenti menyara keluarga itu selepas dua anak bekas pekerjanya menamatkan pengajian di kolej dan ketika ini mereka masing-masing masih di sekolah rendah serta menengah.

Keluarga terbabit juga mempunyai ahli keluarga yang sudah tua iaitu nenek kepada isteri Chen, berusia 80 tahun yang sudah uzur.

Selain itu, akhbar Sin Chew melaporkan Wang berkata, perniagaannya juga mengalami kerugian besar sejak pandemik tetapi tidak menghalang keinginannya menyara keluarga itu.

Wang berkata, dia dibesarkan di kampung dan memahami keadaan keluarga itu.

Memetik abang Chen, Wang disifatkannya memang seperti 'permata' dan mempunyai jiwa yang baik.

Ini adalah situasi satu dalam sejuta yang mana majikan berusaha keras untuk menjaga pekerjanya dan mendoakan terbaik buat keluarga Chen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 12:35 PM