BANGKOK. FOTO fail Reuters
BANGKOK. FOTO fail Reuters
Reuters

Bangkok: Thailand bakal melaksanakan hukuman pengembirian kimia sebagai cara menangani jenayah seks.

Ia akan dikuatkuasakan selepas rang undang-undang yang akan memberi hak kepada sebahagian pesalah untuk memilih prosedur berkenaan sebagai balasan kepada pengurangan tempoh hukuman penjara.

Rang undang-undang yang dibentangkan oleh dewan rakyat pada Mac itu disokong oleh 145 senator pada Isnin, dengan dua berkecuali.

Bagaimanapun, ia masih memerlukan undi ahli di satu lagi dewan dan pengesahan diraja.

Menurut statistik jabatan, daripada 16,413 pesalah seks yang disabitkan bersalah dibebaskan dari penjara Thailand antara 2013 dan 2020, terdapat 4,848 yang mengulangi kesalahan semula.

Di bawah rang undang-undang itu, pesalah seks tertentu yang dianggap berisiko melakukan kesalahan semula boleh diberi pilihan untuk menerima suntikan mengurangkan tahap testosteron mereka, sebagai ganti untuk tempoh penjara lebih singkat dengan syarat mendapat kelulusan dua doktor.

Mengikut rang undang-undang, pesalah akan dipantau selama 10 tahun dan dikehendaki memakai gelang pemantauan elektronik.

Jika diluluskan, Thailand akan menyertai sekumpulan kecil negara yang menggunakan pengembirian kimia, antaranya Poland, Korea Selatan, Rusia dan Estonia, serta beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).

"Saya mahu undang-undang ini diluluskan dengan segera.

"Saya tidak mahu melihat berita buruk berlaku kepada wanita lagi," kata Menteri Kehakiman Somsak Thepsuthin pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Gerakan Progresif Wanita dan Lelaki, Jaded Chouwilai berkata, penggunaan pengembirian kimia tidak akan menangani jenayah seks.

"Pesalah sepatutnya dipulihkan dengan mengubah minda mereka ketika di penjara," katanya.

"Pelaksanaan hukuman mati atau pengembirian menguatkan lagi idea bahawa pesalah tidak boleh dipulihkan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 10:35 AM