TETSUYA Yamagami. FOTO Kyodo News/ Reuters
TETSUYA Yamagami. FOTO Kyodo News/ Reuters
Agensi

Tokyo: Suspek utama pembunuhan bekas perdana menteri Shinzo Abe dilaporkan menghantar surat yang membayangkan dia akan membunuh pemimpin itu kepada seorang penulis blog yang mengkritik kumpulan agama yang dikenali secara meluas sebagai Gereja Penyatuan.

Portal The Straits Times melaporkan, Tetsuya Yamagami, 41, menghantar surat dari Okayama City kepada penulis blog yang tinggal di wilayah Chugoku.

Surat itu menyatakan kebencian kuat Yamagami terhadap kumpulan yang secara rasmi dipanggil Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia, di mana ibu Yamagami adalah ahli dan menyatakan Abe bukan musuh asalnya.

Polis wilayah Nara menyedari surat itu dan berhasrat untuk menyiasat bagaimana kebenciannya terhadap kumpulan itu ditujukan kepada Abe.

Bekas perdana menteri itu bercakap di Okayama pada petang 7 Julai, sehari sebelum dia dibunuh di Nara.

Yamagami melawat tempat ucapan Abe tetapi tidak menyerangnya ketika itu.

Tarikh cop pos pada surat itu menunjukkan surat itu mungkin diposkan dalam perjalanan ke tempat itu.

Surat itu dicetak pada helaian kertas A4.

Ia tidak memberikan nama pengirim tetapi sampul surat itu juga mengandungi salinan perjanjian yang dicapai apabila kumpulan agama itu memulangkan 50 juta yen (kira-kira RM1.6 juta), sebahagian daripada sumbangan ibunya kepada keluarga Yamagami.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 9:57 AM