Kakitangan kesihatan mengenakan pakaian perlindungan diri di Shanghai, China. - FOTO Reuters
Kakitangan kesihatan mengenakan pakaian perlindungan diri di Shanghai, China. - FOTO Reuters
Reuters

Shanghai: Pihak berkuasa Shanghai mengajak penduduk bandar berkenaan berkongsi gambar, video dan cerita 'menyentuh hati' berkaitan perintah berkurung selama dua bulan bermula April lalu.

Pentadbir bandar raya paling ramai penduduk di China melancarkan kempen propaganda untuk berkongsi kisah ketika berdepan pandemik itu, seterusnya menyebarkan budaya sukarelawan dan mewarisi nilai tradisional perpaduan, persahabatan dan tolong-menolong, kata akhbar tempatan, Wen Hui Bao.

Akhbar itu turut memaparkan gambar dan video menyentuh hati berkaitan sumbangan bekalan makanan kepada warga emas, sebagai contoh apa yang dikehendaki pihak kerajaan.

Penduduk digalak menyerahkan bahan berkenaan melalui aplikasi WeChat hingga akhir bulan ini, dengan penyertaan terbaik akan disertakan dalam pameran bermula Ogos, kata akhbar itu.

Perintah berkurung bagi menangani pandemik Covid-19 di Shanghai bermula April lalu, menyebabkan berjuta-juta penduduk terkurung di rumah mereka selama kira-kira dua bulan dan mencetuskan rasa tidak puas hati dan bantahan di bandar raya yang juga hab kewangan utama China.

Shanghai kembali ke keadaan normal pada awal bulan lalu tetapi penduduk masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19 untuk memasuki kedai dan ruang awam lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 4:53 PM