Seorang pekerja kesihatan melakukan ujian calitan di Jing’an, Shanghai. - FOTO AFP
Seorang pekerja kesihatan melakukan ujian calitan di Jing’an, Shanghai. - FOTO AFP
AFP

Shanghai: Walaupun perintah berkurung yang dihadapi selama dua bulan sudah berakhir, penduduk Shanghai kini berdepan 'seksaan' baharu apabila terpaksa menanti berjam-jam untuk menjalani ujian Covid-19 dan menunggu keputusan negatif sebelum dibenarkan memasuki kawasan awam.

Hab perniagaan dan komersial di China itu menamatkan perintah berkurung buat 25 juta penduduknya pada Rabu.

Namun, orang awam perlu mengemukakan bukti mereka telah menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh 72 jam untuk memasuki pusat beli-belah, pejabat hinggalah untuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas.

Pihak berkuasa membina 15,000 tapak ujian dan melatih beribu-ribu pekerja untuk menjalankan ujian calitan.

Namun, barisan panjang dapat dilihat sejak Rabu lalu dengan ada di antaranya terpaksa beratur selama dua jam.

Seorang pengguna media sosial membuat hantaran gambar dirinya memegang papan tanda dengan tertera perkataan 'penantian 4.5 jam', menjana 190 juta tontonan di Weibo.

"Saya meninggalkan mimpi ngeri 'lockdown', hanya untuk menghadap mimpi ngeri ujian PCR," kata seorang penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 5:21 PM