PENDUDUK Shanghai gembira selepas sekatan pergerakan ditarik balik mulai 1 Jun lalu namun berdepan pula dengan kesesakan  ujian Covid-19. FOTO REUTERS
PENDUDUK Shanghai gembira selepas sekatan pergerakan ditarik balik mulai 1 Jun lalu namun berdepan pula dengan kesesakan ujian Covid-19. FOTO REUTERS
Syarifah Dayana Syed Bakri

Di saat rakyat Malaysia dan sebahagian penduduk dunia mula menikmati kebebasan selepas lama terkurung akibat sekatan Covid-19, penduduk di China khususnya Shanghai baru merasa nikmat 'bebas'.

Ini kerana kerajaan China melaksanakan polisi sifar Covid-19 yang memerlukan pemantauan ketat dengan ujian pengesanan dilakukan secara besar-besaran.

Ia memaksa penduduk di Shanghai terkurung dua bulan hinggakan ada antara mereka kekurangan bekalan makanan dan terpaksa melakukan sistem barter, menukar barangan peribadi untuk mendapatkan makanan.

Shanghai mengenakan perintah berkurung di seluruh bandar itu ke atas 25 juta penduduknya pada 1 April, untuk memerangi penularan Covid-19.

Ini termasuk mengenakan langkah ketat yang menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap isu seperti pusat kuarantin yang sesak, kesukaran untuk mendapatkan makanan dan kehilangan pendapatan.

Berikutan sekatan yang ketat itu, terdapat beberapa tindakan 'luar kotak' terpaksa diambil hinggakan menjadi bahan jenaka orang awam.

Sebagai contoh, sebuah universiti di Shanghai menjadi bahan ketawa kerana melaksanakan ujian renang untuk pelajarnya secara dalam talian.

Menurut laporan SCMP, pentadbiran universiti itu mewajibkan pelajar yang belum melengkapkan ujian renang 50 meter sebelum tamat pengajian untuk melakukannya dari rumah secara dalam talian.

Langkah berkenaan diambil bagi memudahkan urusan graduasi di saat seluruh bandar perlu berdepan sekatan Covid-19.

Bagaimanapun, notis yang diletakkan di laman web rasmi universiti itu dipadam selepas tersebar di media sosial.

Selepas dua bulan dalam kurungan, akhirnya penduduk Shanghai kini boleh bergerak bebas di ruang terbuka.

Bermula 1 Jun lalu, Shanghai menarik semula perintah berkenaan dan membenarkan penduduk bebas meninggalkan rumah, kembali bekerja, menggunakan pengangkutan awam dan memandu kereta mereka.

Reuters melaporkan, bermula tengah malam, kumpulan kecil berkumpul di satu kejiranan di bandar itu dan bersiul serta menjerit 'larangan ditarik balik.'

Disneyland Shanghai yang masih belum mengumumkan tarikh pembukaan semula menyiarkan secara langsung pertunjukan cahaya untuk meraikan penarikan balik sekatan di Shanghai.

Namun, kegembiraan mereka tidak lama apabila perlu menempuh 'seksaan' baharu.

Ini kerana mereka terpaksa menanti berjam-jam untuk menjalani ujian Covid-19 dan menunggu keputusan negatif sebelum dibenarkan memasuki kawasan awam.

AFP melaporkan, orang awam perlu mengemukakan bukti mereka telah menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh 72 jam untuk memasuki pusat beli-belah, pejabat hinggalah untuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas.

Pihak berkuasa membina 15,000 tapak ujian dan melatih beribu-ribu pekerja untuk menjalankan ujian calitan.

Namun, barisan panjang dapat dilihat sejak Rabu lalu dengan ada di antaranya terpaksa beratur selama dua jam.

Seorang pengguna media sosial membuat hantaran gambar dirinya memegang papan tanda dengan tertera perkataan 'penantian 4.5 jam'' menjana 190 juta tontonan di Weibo.

Seorang penduduk dikenali sebagai Liu berkata, kawasan apartmen tempat tinggalnya terpaksa dikunci semula selepas seorang lelaki yang tinggal di bangunan sama mencatatkan keputusan ujian Covid-19 'tidak normal'.

Seluruh jiran tetangganya merungut kerana mereka beranggapan arahan berkurung itu tidak akan berakhir.

Katanya, dia hanya dapat menikmati satu hari yang gembira dan kini kembali terkurung.

Pihak berkuasa berkata, kira-kira setengah juta penduduk masih di bawah sekatan pergerakan, yang akan dilaksanakan sekiranya terdapat kes positif di kawasan tempat tinggal mereka.

Di bawah polisi sifar Covid-19 China, semua kes positif akan diasingkan dan kontak rapat yang biasanya dikaitkan dengan semua penduduk di bangunan sama atau komuniti setempat akan dikuarantin.

Seorang pengurus di Shanghai cuba melanggar peraturan selepas seorang pekerja menunjukkan keputusan ujian tidak normal.

Dia memandu pekerja itu ke tempat persembunyian di bawah jejambat pinggir bandar sebelum ditangkap polis, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Menurut polis, pengurus itu bimbang operasi syarikat terjejas disebabkan satu kes positif.

Semoga penduduk Shanghai sabar menghadapi arahan pihak berkuasa yang menetapkan perintah berkenaan semata-mata mahu melindungi rakyat daripada Covid-19.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 7:00 AM