PENGHADANG yang sebelum ini dipasang ketika sekatan pergerakan di Shanghai. FOTO AFP
PENGHADANG yang sebelum ini dipasang ketika sekatan pergerakan di Shanghai. FOTO AFP
Reuters

Shanghai: Selepas berdepan dua bulan berada dalam kekecewaan, putus asa dan kerugian ekonomi, sekatan pergerakan (lockdown) Covid-19 yang ketat di Shanghai berakhir pada tengah malam tadi.

Kebanyakan 25 juta penduduk Shanghai kini bebas meninggalkan rumah, kembali bekerja, menggunakan pengangkutan awam dan memandu kereta mereka.

Ia antara detik dinantikan bagi kebanyakan orang di bandar terbesar dan kosmopolitan di China itu.

Pada tengah malam tadi, kumpulan kecil berkumpul di satu kejiranan di bandar itu dan bersiul serta menjerit 'larangan ditarik balik'.

Terdahulu, jalan raya meriah apabila penduduk berkelah di kawasan berumput dan kanak-kanak menunggang basikal menyusuri jalan tanpa kereta.

Pesara yang menari antara pemandangan malam yang biasa di bandar China buat pertama kalinya dalam beberapa bulan di plaza terbuka dan di sepanjang Sungai Huangpu.

Shanghai Disneyland yang masih belum mengumumkan tarikh pembukaan semula menyiarkan secara langsung pertunjukan cahaya untuk meraikan penarikan balik sekatan pergerakan di Shanghai.

Di bawah lampu jalan, tukang gunting rambut menggunting rambut penduduk yang sudah panjang ketika dikenakan tempoh berkurung.

Di platform media sosial WeChat, kedai mengumumkan rancangan pembukaan semula premis perniagaan mereka.

Pengalaman pahit di Shanghai melambangkan apa yang dikatakan pengkritik adalah ketidakmampanan pematuhan China terhadap dasar sifar Covid-19 yang bertujuan untuk memutuskan setiap rantaian jangkitan.

Ia walaupun kebanyakan negara dunia cuba untuk kembali normal walaupun jangkitan berterusan.

Sekatan Covid-19 di Shanghai dan banyak bandar China yang lain menjejaskan ekonomi kedua terbesar di dunia dan rantaian bekalan global, walaupun bilangan kes bertambah baik dan sekatan dilonggarkan sejak April lalu.

Sekatan pergerakan ditarik balik untuk 22.5 juta orang di kawasan berisiko rendah.

Bagaimanapun, penduduk masih tertakluk dengan pemakaian pelitup muka di tempat awam dan mengelakkan perhimpunan, manakala makan di restoran kekal diharamkan dan kedai boleh beroperasi pada kapasiti 75 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 11:02 AM