KEADAAN kereta api terbabit. FOTO AFP
KEADAAN kereta api terbabit. FOTO AFP
AFP

Tehran: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh ketika kereta api tergelincir berhampiran Tabas di laluan antara bandar Mashhad dan Yazd di tengah Iran.

"Sepuluh orang terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam kejadian itu," jurucakap perkhidmatan penyelamat negara Mojtaba Khaledi dipetik sebagai berkata oleh televisyen negara.

"Dua belas daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan dipindahkan ke hospital," tambahnya.

Timbalan ketua kereta api milik negara Iran, Mir Hassan Moussavi berkata, kereta api itu membawa 348 penumpang.

Ia tergelincir selepas melanggar sebuah jengkaut yang berada berhampiran landasan.

Lima daripada 11 koc kereta api itu terkeluar dari landasan dalam kemalangan berlaku jam 5.30 pagi, kata perkhidmatan kecemasan.

Kereta api tergelincir itu berlaku selepas blok menara runtuh di barat daya Iran bulan lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang.

Pada 2016, dua kereta api berlanggar dan terbakar di utara Iran mengorbankan 44 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 3:09 PM