PENDUDUK meraikan pesta api dengan melompat atas unggun api. FOTO AFP
PENDUDUK meraikan pesta api dengan melompat atas unggun api. FOTO AFP
BERNAMA

Tehran: Sekurang-kurangnya 11 terbunuh, manakala 486 lagi cedera di Iran ketika perayaan Chaharshanbe Suri, atau Pesta Api, lapor Xinhua memetik laporan TV negara Iran.

Dalam kalangan yang cedera, seramai 49 orang terpaksa dipotong anggota badan akibat kecederaan parah, jurucakap Pertubuhan Kecemasan Iran, Mojtaba Khaledi, dipetik berkata.

Kebanyakan kematian, yang meningkat 47 peratus daripada tahun lalu, berlaku dalam tempoh empat atau lima hari lalu, kata Khaledi.

Pesta Api disambut oleh rakyat Iran pada malam Rabu terakhir sebelum Nowruz, tahun baharu Iran, yang bermula pada 21 Mac tahun ini.

Perayaan tahun ini bermula beberapa hari lalu dan mencapai kemuncaknya pada petang Selasa.

Rakyat Iran meraikan Pesta Api dengan melompat ke atas unggun api dan menggunakan mercun di tempat awam, upacara yang dilakukan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun lama dan menyambut tahun baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:21 PM