PEKERJA kereta api memeriksa gerabak kereta api yang tergelincir di wilayah Phetchaburi semalam.
PEKERJA kereta api memeriksa gerabak kereta api yang tergelincir di wilayah Phetchaburi semalam.

Bangkok: Sekurang-kurangnya tiga maut dan 30 cedera selepas sebuah trak melanggar kereta api penumpang di luar Bangkok pada pagi semalam, kata pegawai.

Trak yang membawa beberapa lembu itu melanggar penghalang sebelum merempuh kereta api di wilayah Phetchaburi di selatan Bangkok.

Timbalan gabenor Kereta Api Negara, Thanongsak Kongprasert berkata, kejadian itu menyebabkan lima gerabak tergelincir dari landasan.

“Sehingga kini saya menerima laporan tiga orang maut dan seramai 20 hingga 30 penumpang dirawat di hospital akibat cedera,” katanya.

Pemandu trak dan dua penumpang termasuk seorang sami Buddha antara yang terbunuh dalam kejadian itu.

Menurutnya, semua perkhidmatan kereta api ke selatan negara itu tergendala akibat landasan rosak.

Punca pemandu lori itu melanggar kereta api berkenaan masih belum diketahui.

Siaran televisyen menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan penumpang dari gerabak yang tergelincir manakala bangkai lembu bergelimpangan di landasan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM