ORANG ramai beratur panjang untuk keluar dari Shanghai. FOTO tangkap layar Douyin
ORANG ramai beratur panjang untuk keluar dari Shanghai. FOTO tangkap layar Douyin
Agensi

Shanghai: Hab kewangan China berdepan pemindahan besar-besaran apabila ribuan penduduk mula keluar dari Shanghai selepas kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan yang berlangsung sejak enam minggu lalu.

Memetik portal Daily Star, Stesen Kereta Api Hongqiao dikerumi orang ramai yang mahu membeli tiket untuk ke destinasi lain walaupun kerajaan meminta orang ramai hanya keluar jika perlu.

Polis Shanghai mengeluarkan notis pada Rabu lalu, memaklumkan orang ramai yang perlu meninggalkan bandar untuk memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan.

Permit akan sah dalam tempoh enam jam dari masa berlepas yang ditetapkan pemohon.

Namun, perkongsian video di platform Douyin menunjukkan, orang ramai yang membawa bagasi dan beg galas berbaris panjang untuk meninggalkan blok bangunan tempat tinggal mereka.

Ada yang menaiki kenderaan persendirian, berbasikal dan ada juga sanggup berjalan kaki dengan membawa beg pakaian selama 10 jam semata-mata untuk ke Stesen Kereta Api Hongqiao.

Lebuh raya di luar Stesen Kereta Api Hongqiao sesak beberapa kilometer ketika orang ramai menunggu untuk menaiki kereta api ke bandar lain.

Ada yang dilihat memakai gaun pelindung penuh, pelindung muka dan sarung tangan ketika menunggu giliran untuk membeli tiket.

Seorang pengguna Douyin berkongsi perjalanannya itu berkata, dia mengambil masa tujuh jam sebelum tiba di Stesen Kereta Api Hongqiao.

Pihak berkuasa kereta api Shanghai berkata, seramai 7,000 penumpang meninggalkan bandar itu melalui Stesen Kereta Api Hongqiao Rabu lalu dan kebanyakannya ialah penuntut universiti.

Polis Shanghai mengesahkan, enam orang ditahan pada Selasa kerana didakwa menjual semula tiket kereta api.

Katanya, seorang suspek mengenakan bayaran tambahan 2,200 yuan (RM1,437.26) untuk dua tiket kereta api.

Hab kewangan di timur China itu dikenakan sekatan pergerakan pada April lalu dengan beberapa video menunjukkan pekerja pejabat terpaksa menjalani kuarantin di pejabat selama sekurang-kurangnya tujuh hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 7:01 AM