EFE

Kyiv: Lebih 2.5 juta individu terpaksa melarikan diri dari Ukraine sejak pencerobohan Rusia bermula 15 hari lalu.

Selain itu, dua juta lagi menjadi pelarian dalam negara berdasarkan data daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Jumaat.

Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) memberi amaran 12.6 juta individu di Ukraine terjejas secara langsung oleh pencerobohan Rusia.

"Jutaan individu terpaksa meninggalkan rumah mereka oleh perang yang tidak masuk akal ini," kata Ketua UNHCR Filippo Grandi menerusi Twitter.

PBB pada Jumaat memberi amaran bahawa pelarian berhadapan dengan suhu beku ketika cuaca sejuk melanda timur dan tengah Eropah minggu ini.

"Akses kepada komuniti konflik di kawasan yang dilanda teruk seperti Mariupol dan Kharkiv kekal sangat terhad disebabkan aktiviti ketenteraan yang berterusan dan peningkatan kehadiran periuk api, memburukkan lagi keperluan kemanusiaan," kata agensi itu.

ORANG awam menunggu ketibaan kereta api di sebuah stesen di  Lviv untuk meninggalkan Ukraine. FOTO EPA
ORANG awam menunggu ketibaan kereta api di sebuah stesen di Lviv untuk meninggalkan Ukraine. FOTO EPA

Ukraine memerlukan segera bekalan asas termasuk makanan, air, ubat-ubatan, selimut, tilam, wang tunai, bahan binaan dan bahan api.

PBB sudah meningkatkan operasi di tengah dan barat Ukraine sebagai tindak balas kepada gelombang pelarian yang berpindah ke arah barat dalam percubaan mereka untuk melarikan diri daripada pencerobohan Rusia.

"Kami juga berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk menambah baik keadaan penerimaan di titik lintasan sempadan antarabangsa di mana orang ramai beratur selama berjam-jam lamanya," tambah agensi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 5:19 PM