LELAKI menyerahkan minyak masak kepada seorang individu di sebuah pasar jalanan di Shanghai. FOTO Reuters
LELAKI menyerahkan minyak masak kepada seorang individu di sebuah pasar jalanan di Shanghai. FOTO Reuters
Agensi

Shanghai: Penduduk Shanghai yang dikenakan sekatan pergerakan (lockdown) bagi membendung peningkatan drastik kes Covid-19, terpaksa tidur di tempat kerja dan mencatu makanan.

Seperti kebanyakan pekerja sektor kewangan lain di Shanghai, Romeo terpaksa berpindah ke pejabat untuk memastikan ekonomi berjalan, ketika sekatan pergerakan itu dilaksanakan.

Romeo berkata, dia berpindah ke daerah kewangan Pudong, pada akhir Mac lalu, sebelum bandar itu ditutup kerana menyangkakan sekatan pergerakan kali ini akan berpanjangan.

Katanya, tempat kerjanya menjadi 'rumah' untuk dia melepaskan kepenatan selepas seharian bekerja pada siang hari.

"Ada orang tidur di tingkat satu dan dua, setiap orang pergi ke pejabat mereka sendiri.

"Tiada perbualan... semua orang senyap dan menghormati privasi dan menjaga jarak masing-masing." katanya.

Hab perniagaan berkenaan menjadi pusat wabak Covid-19 terbesar di China sejak virus itu muncul lebih dua tahun lalu apabila merekodkan kira-kira 25,000 jangkitan sehari.

Kebanyakan 25 juta penduduk Shanghai kini berada di bawah perintah duduk rumah yang ketat, dilaporkan menghadapi kekurangan makanan kerana tidak ramai bersiap sedia dengan krisis terbaharu itu.

Mereka juga bimbang diuji positif Covid-19 kerana tidak mahu ditempatkan di pusat kuarantin.

Bagi Frank Tsai, yang terkurung di apartmennya di Puxi, barat Shanghai berkata, dia hanya menyimpan bekalan makanan selama empat hari saja seperti yang diarahkan pihak berkuasa.

Namun katanya, sekatan pergerakan itu berlarutan sehingga lebih tujuh hari menyebabkan makanannya semakin berkurangan.

Seorang penduduk, Ma berkata, dia terpaksa bertukar-tukar atau membayar lebih daripada harga sepatutnya untuk mendapatkan makanan ketika sekatan pergerakan itu dilanjutkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 8:40 AM