Wan Rosdy pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Wan Rosdy pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan RM8,000 kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang terbunuh dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM5,000 daripada kerajaan negeri manakala RM3,000 adalah sumbangan peribadi beliau.

Katanya, sumbangan itu diharap membantu meringankan beban kepada keluarga mangsa.

"Bagi saya kes serangan ini menyayat hati dan ia berita sedih buat rakyat Pahang," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pahang di Permatang Permai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun.

Manakala, seorang lagi anggota pasukan keselamatan yang cedera dikenali Koperal Mohd Hasif Roslan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 8:13 PM