BROOKLYN Joseph Beckham.
BROOKLYN Joseph Beckham.
ROMEO James Beckham.
ROMEO James Beckham.

Bapa mereka seorang pemain bola sepak legenda dan ibunya seorang ikon fesyen dan bekas bintang pop. Kini mereka pula mengorak langkah untuk meneroka dunia fesyen yang tentunya memberi mereka pengalaman menarik dan pendapatan yang lumayan.

Kita sedang memperkatakan mengenai dua anak bujang David Beckham dan Victoria Beckham yang sedang menjadi perhatian dunia fesyen dan peragaan.

Brooklyn, 15, dan adiknya Romeo, 12, kini menjadi model fesyen remaja dan kanak-kanak selain menjadi rebutan majalah fesyen seluruh dunia.

Brooklyn dikatakan mempunyai pesona seorang model walaupun wajahnya bukanlah seperti seorang peragawan yang ada di pasaran ketika ini.

Seorang yang tinggi dan berwajah penyayang, dia menjadi pilihan jenama Reserved untuk menjadi model utama koleksi Musim Bunga 2015.

Beberapa majalah Eropah memilihnya menjadi model pilihan untuk memperagakan koleksi terbaru, malah Brooklyn menjadi pilihan sebagai lelaki muka depan majalah Man About Town, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Brooklyn dikatakan berusaha membahagikan masa dalam bidang peragawan dengan latihan bola sepak untuk pasukannya iaitu pasukan Arsenal bawah 16 tahun.

Adik Brooklyn, Romeo, 12, juga tidak kurang hebatnya malah dikatakan bakal menjadi seorang peragawan muda yang berjaya kelak.

Romeo memiliki wajah seorang model sebenar dengan bentuk muka yang bersegi, senyuman yang sempurna dan raut wajah yang terletak.

Kelebihan semula jadinya ini membuatkan jenama mewah Burberry tidak teragak-agak menawarkannya sebagai model kanak-kanak utama untuk koleksi cermin mata, Koleksi Musim Bunga 2013 dan terkini kempen Krismas lalu.

Dia digandingkan dengan beberapa model ternama yang lain dan menjadi bintang utama dalam kempen itu. Pelajar sekolah itu dipilih sendiri oleh Pengarah Burberry, Christopher Bailey ketika kanak-kanak itu berusia 10 tahun.

Romeo yang sudah terbiasa dengan persekitaran penuh glamor itu dilihat pandai membawa dirinya dan murah dengan senyuman walaupun sering dikejar paparazi.

Anak kedua Beckham itu juga dikatakan suka berfesyen dan tidak kisah menemani ibunya ke pertunjukan fesyen di seluruh dunia ketika cuti sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:00 AM