Lapangan Terbang Suvarnabhumi
Lapangan Terbang Suvarnabhumi
Agensi

Bangkok: Pelancong yang berlepas dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Thailand tidak dibenarkan membawa lebih 30 pelitup muka perubatan kecuali jika mereka mempunyai sijil dalam bidang itu.

Ia berikutan barangan itu adalah barangan kawalan, menurut pengurusan lapangan terbang Suvarnabhumi.

Bangkok Post melaporkan, pengumuman yang disiarkan di halaman Facebook Lapangan Terbang Suvarnabhumi itu mengatakan penumpang yang mempunyai sijil perubatan boleh membawa sehingga 50 pelitup muka perubatan di dalam bagasi mereka.

Jika tidak, hadnya ialah 30 pelitup muka setiap seorang.

Laman web Royal Gazette menerbitkan pengumuman oleh jawatankuasa pusat mengenai harga barangan dan perkhidmatan pada 25 Januari lalu meletakkan pelitup muka perubatan, polipropilena (spunbond), bahan mentah yang digunakan untuk membuat topeng, pembersih tangan berasaskan alkohol dan boleh dikitar semula, ayam dan daging berada dalam senarai kawalan harga negeri.

Peraturan itu berkuat kuasa selama setahun.

Pada Mac 2020, Lapangan Terbang Thailand dan Jabatan Perdagangan Dalam Negeri mengeluarkan peraturan yang mengehadkan pelancong membawa ke luar negara lebih 30 pelitup muka perubatan untuk mengelakkan kekurangan bekalan.

Peraturan itu berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:40 AM