PELANCONG dari Xiamen, China, yang tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, pada 9 Januari. FOTO Reuters
PELANCONG dari Xiamen, China, yang tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, pada 9 Januari. FOTO Reuters
BERNAMA

Bangkok: Thailand membatalkan prasyarat Covid-19 yang mewajibkan pelancong asing mempamerkan bukti vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, pelancong yang tidak menerima vaksinasi dan tidak lengkap dua dos vaksin juga akan dibenarkan masuk ke negara itu.

"Pengembara antarabangsa yang tiba di Thailand tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi.

"Memandangkan ramai pelancong sudah menerima vaksin, keperluan untuk mempamerkan bukti vaksinasi akan menyusahkan. Oleh itu, panel kesihatan bersetuju bahawa bukti vaksinasi tidak lagi perlu," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, pelancong antarabangsa tidak perlu menjalani ujian pra-berlepas Covid-19.

Pada Sabtu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) mengumumkan mulai Isnin, semua pengembara antarabangsa perlu membuktikan bahawa mereka lengkap divaksinasi atau mengemukakan surat yang mengesahkan mereka sudah pulih daripada Covid-19 dalam tempoh enam bulan, manakala pengembara yang tidak divaksin mesti mengemukakan sijil perubatan.

Anutin menghadiri majlis mengalu-alukan penerbangan pertama pelancong China sejak wabak Covid-19 melanda di lapangan terbang Suvarnabhumi, semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob dan Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn.

Thailand dijangka mengalu-alukan 3,465 penumpang China yang tiba dari China dan Hong Kong, kumpulan pertama pelancong China sejak wabak itu melanda dunia.

Mulai Ahad, China melonggarkan pelbagai sekatan Covid-19 yang ketat termasuk langkah kuarantin.

Sementara itu, Anutin berkata, terdapat 15 penerbangan seminggu dari China berbanding 400 penerbangan sebelum wabak melanda.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand berkata, 338 penerbangan dari China dijangka mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi, termasuk 98 pada Januari, 144 pada Februari dan 96, pada Mac.

Selain itu, kekerapan penerbangan di wilayah lain termasuk Phuket dan Chiang Mai akan meningkat secara beransur-ansur dari Januari hingga Mac tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 8:44 AM