RAKAMAN video menunjukkan wanita mencampak anaknya dalam kandang beruang.
RAKAMAN video menunjukkan wanita mencampak anaknya dalam kandang beruang.
Agensi

Tashkent: Rakaman video mengejutkan orang ramai di Uzbekistan apabila menunjukkan seorang wanita mencampak anak perempuannya yang berusia tiga tahun ke dalam kandang beruang di zoo bandar ini.

Insiden itu juga menyebabkan pengunjung zoo tergamam dan merenung dengan rasa tidak percaya terhadap perbuatan kejam terbabit.

Menurut saksi, beruang itu yang dikenali Zuzu menghampiri kanak-kanak terbabit sejurus ia jatuh dalam parit di kandang berkenaan sebelum menghidu badannya.

Binatang itu kemudiannya berlalu dan memasuki sangkarnya yang membolehkan kakitangan zoo menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

Kanak-kanak itu mengalami koma, cedera di kepala dan lebam.

Dalam petikan video lain kelihatan enam kakitangan zoo memasuki kandang dan seorang daripada mereka mendukung kanak-kanak terbabit.

Ibu kanak-kanak itu pada mulanya dilihat menghampiri bahagian kiri kandang dan berdiri dekat penghadang sebelum mencampakkan anaknya. Dia kemudian hanya melihat anaknya di dalam kandang itu.

Wanita terbabit ditahan pihak berkuasa dan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, menurut media tempatan yang dilapor Daily Star.

"Dia mencampakkan anaknya ke dalam kandang beruang di hadapan semua pengunjung. Tidak jelas apa motifnya.

"Kakitangan zoo dan pengunjung berusaha menghentikan perbuatannya namun gagal," kata jurucakap zoo.

Menurutnya jurucakap itu lagi, pengurusan zoo bimbang sekiranya Zuzu menganggap budak itu sebagai makanannya, memandangkan ia sempat melihat kanak-kanak malang itu dicampak.

Suspek yang tidak dinamakan akan berhadapan hukuman penjara minimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 6:40 AM