PERDANA Menteri India Narendra Modi. FOTO AFP
PERDANA Menteri India Narendra Modi. FOTO AFP
BERNAMA

New Delhi: India menetapkan sasaran pelepasan karbon "sifar bersih" menjelang 2070 sebagai sebahagian daripada usaha dunia untuk memerangi pemanasan global.

Ia adalah antara lima ikrar yang dibuat oleh Perdana Menteri India Narendra Modi semasa berucap pada Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow, Britain, pada Isnin.

Matlamat lain pemancar gas rumah hijau nombor tiga dunia selepas China dan Amerika Syarikat itu termasuk meningkatkan kapasiti tenaga bukan fosilnya kepada 500 gigawatt dan memenuhi 50 peratus keperluan tenaganya daripada sumber boleh dibaharui menjelang 2030.

Modi berkata India akan mengurangkan sebanyak satu bilion tan metrik jumlah pelepasan karbon yang diunjurkan antara sekarang dan 2030 dan mengurangkan intensiti karbon ekonomi kepada kurang daripada 45 peratus dalam tempoh yang sama.

Pemimpin India itu menegaskan bahawa janji kewangan antarabangsa untuk memerangi perubahan iklim tidak ditepati dan meminta negara maju menawarkan lebih banyak pembiayaan iklim.

"India menjangka negara maju akan menyediakan pembiayaan iklim sebanyak $1 trilion. Hari ini ia lebih perlu untuk kita melihat kemajuan yang dibuat dalam mitigasi iklim, kita juga harus meneliti pembiayaan iklim," kata Modi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 10:55 AM