AFP

New Delhi: Kerajaan India semalam melancarkan perubahan fiskal terbesar dengan berjanji satu ekonomi yang lebih kukuh dan kurang rasuah walaupun cukai baru itu dibantah beberapa pihak.

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu menggantikan lebih 12 levi yang dikuatkuasakan di seluruh negara dan di 29 negeri.

Ia bertujuan mengubah negara dengan 1.3 bilion penduduk dan AS$2 trilion (RM8.59 trilion) ekonomi menjadi satu pasaran.

GST di India mempunyai empat kadar berbeza daripada lima peratus hingga 28 peratus walaupun sebelum ini hanya satu kadar dicadangkan.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengadakan satu sesi khas di Parlimen pada tengah malam untuk melancarkan GST yang digelarnya ‘Good and Simple Tax’ (Cukai yang bagus dan mudah).

“Dengan GST, impian untuk satu India, India yang hebat akan menjadi kenyataan.

“GST adalah mudah, sistem yang telus yang boleh mengelakkan wang haram dan membasmi rasuah yang membelenggu negara selama bergenerasi,” katanya.

Modi pada tahun lalu, mencetuskan kemarahan apabila menarik balik lebih 85 peratus wang kertas negara itu dari edaran dalam usaha membasmi rasuah.

Namun, Modi yang berusaha keras membuat perubahan ekonomi dan merancang untuk bertanding semula pada pilihan raya 2019 berdepan dengan pelbagai masalah.

Negeri Jammu dan Kashmir enggan menandatangani satu daripada cukai berkenaan manakala peniaga dan pembangkang membantah sistem itu.

Pelancaran cukai baru itu turut mencetuskan beberapa siri bantahan di seluruh negara sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 5:10 AM