Seorang lelaki melihat kerosakan terhadap rumahnya selepas dibedil dalam serangan udara.
Seorang lelaki melihat kerosakan terhadap rumahnya selepas dibedil dalam serangan udara.
AFP

Aden: Militan al-Qaeda menyerbu penjara di tenggara Yaman semalam dan membebaskan lebih 300 banduan termasuk seorang pemimpin mereka.

Menurut sumber, anggota kanan al-Qaeda, Khalid Batarfi yang dipenjara sejak empat tahun lalu antara mereka yang berjaya meloloskan diri daripada penjara di Hadramawt itu.

Katanya, dua wardar dan lima banduan terbunuh akibat pertempuran dalam kejadian itu.

Khalid antara komander paling senior al-Qaeda di Semenanjung Arab dan terkenal kerana peranannya dalam pertempuran 2011-2012 dengan tentera kerajaan Yaman yang kemudian melihat golongan pelampau berjaya menawan sebahagian besar selatan serta timur negara itu.

Sementara itu, sumber sama berkata, militan al-Qaeda juga bertempur dengan askar yang mengawal kompleks pentadbiran tempatan di Mukalla, cawangan bank pusat dan ibu pejabat polis.

Pertempuran turut berlaku di pelabuhan dan sekitar Istana Presiden di Mukalla.

Militan terbabit tidak mendapat tentangan ketika merampas ibu pejabat radio tempatan, seterusnya menyebabkan gangguan siaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 8:41 AM