FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Seramai 226 orang ibu mengandung disahkan positif Covid-19 di Kulon Progo, Jogjakarta.

Tiga daripada mereka meninggal dunia dan mereka berasal dari Lendah, Kalibawang dan Kokap.

"Ramai ibu mengandung disahkan positif," kata jurucakap Unit Kawalan Covid-19 Kulon Progo, TH Baning Rahayujati menerusi aplikasi Zoom, semalam.

Katanya, sepanjang pandemik, 2,516 kehamilan direkodkan di Kulon Progo dan 1.3 peratus daripadanya dijangkiti Covid-19.

Kompas melaporkan pihak berkuasa daerah memberikan perhatian khusus mengenai perkara itu susulan peningkatan kes.

Jabatan Kesihatan Kulon Progo menambah pusat isolasi khusus untuk ibu mengandung dan bayi di hospital Covid-19.

Rumah Sakit Umum Daerah Wates, salah sebuah hospital Covid-19 membuka ruang Cempaka dengan 12 katil yang disediakan khas untuk ibu dan bayi.

Selain itu, ruang dengan lapan katil juga disediakan untuk jagaan bayi.

Baning berkata, perhatian khusus diberikan kepada mereka kerana ibu mengandung dan bayi adalah golongan rentan yang mudah dijangkiti.

Bagi mereka yang bersalin secara normal, terdapat kemudahan kesihatan untuk tujuan itu.

"Namun jika ada risiko lain, mereka akan dirujuk ke hospital," katanya.

Kes Covid-19 di Kulon Progo mencatatkan 18,900 kes, Selasa lalu.

Daerah Pengasih mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,272 kes dengan 350 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:55 AM