GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi impak besar kepada sektor ekonomi, sosial dan kesihatan negara, malah jumlah kadar kelahiran dilihat meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Erinna Mohamad Zon berkata, merancang kehamilan ketika pandemik Covid-19 amat penting kerana ia mampu mencegah kesan jangkitan kepada ibu serta bayi.

Bagaimanapun, katanya, di sepanjang usia kehamilan, seseorang ibu boleh menerima vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca yang diuji dan terbukti selamat untuk diberikan kepada wanita mengandung.

"Vaksin amat penting untuk wanita hamil kerana ketika mengandung mereka mengalami beberapa perubahan seperti sistem imun dan pernafasan menurun berbanding biasa selain kadar denyutan jantung semakin meningkat dan darah cepat membeku.

"Pada masa sama, vaksin akan membentuk antibodi terhadap ibu dan manfaatnya turut diperoleh bayi dalam kandungan dan ini dipercayai dapat mengurangkan kesan jangkitan Covid-19 kepada ibu hamil," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, meskipun ibu mengandung sudah divaksin, mereka masih berisiko dijangkiti virus Covid-19 dan mungkin dijangkiti pada tahap rendah iaitu tahap satu atau dua berbanding dengan wanita hamil tidak divaksinasi.

Menurutnya, namun tidak mustahil mereka mungkin boleh dijangkiti Covid-19 pada tahap empat atau lima dan yang paling membimbangkan adalah kandungan perlu 'ditamatkan' jika keadaan ibu bertambah teruk.

"Bagi pasangan mempunyai masalah kesuburan, mereka digalakkan untuk mendapatkan rawatan kesuburan dan perlu mematuhi beberapa syarat.

"Bagi mereka yang menghadapi masalah penyakit kronik seperti diabetes, asma dan sebagainya perlu mendapatkan rawatan dan memastikan berada dalam keadaan paling optimum iaitu selamat untuk mengandung.

"Selain itu, mereka perlu lengkap menerima vaksin Covid-19 bagi membentuk antibodi dan sekiranya terkena jangkitan, mungkin kesannya tidak terlalu teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 3:16 PM