AMOS (kiri) membuka pusat pemulihan dadah dengan wang poket sendiri. FOTO Amos
AMOS (kiri) membuka pusat pemulihan dadah dengan wang poket sendiri. FOTO Amos
Agensi

Wamena, Indonesia: Seorang pemandu teksi motosikal mengabdikan diri dalam usaha memulihkan kanak-kanak di Papua daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Amos Yeninar, 33, mengambil inisiatif itu selepas bimbang dengan keadaan generasi muda di kepulauan paling hujung di Indonesia itu menjadi mangsa ketagihan dadah.

Kisahnya menjadi perhatian selepas ditularkan di laman sosial.

Amos kini merawat 20 anak muda di Nabire dengan menggunakan duit poketnya sendiri.

Malah, pusat pemulihan yang dibuka sejak 2017 masih dalam pembinaan itu pernah terbakar sebelum ini.

Amos berhasrat untuk terus membina lebih banyak pusat pemulihan bagi menyelamatkan lebih ramai warga Papua daripada dadah.

Lelaki berusia 33 tahun itu mengidap penyakit berkaitan paru-paru dan doktor menganggarkan hayatnya tidak lama.

Disebabkan itu, dia berhasrat untuk terus berbuat kebaikan selagi hayat dikandung badan.

"Hasil daripada ojek (teksi) ini saya guna untuk membiayai perbelanjaan pusat pemulihan ini. Saya meninggalkan kerjaya yang baik dan memiliki pendapatan yang stabil.

"Saya mahu mencari kebaikan selagi ada hayat selepas disahkan menghidap sakit paru-paru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:45 AM