Mohd Husni Mohd Noor


PENYAKIT paru-paru yang berkaitan dengan produk rokok elektronik atau EVALI antara perkara diambil tumpuan oleh jawatankuasa khas mengenai vape yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalannya, Dr Lee Bon Chye itu akan memerhati dengan teliti termasuk memantau segala insiden serta kematian yang didakwa akibat penggunaan vape.

“Hari ini kita ada istilah baru dikenali sebagai EVALI iaitu penyakit paru-paru yang dicetuskan oleh vape,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Mamogram Percuma Etiqa - Fasa 3 di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, laporan penuh oleh jawatankuasa itu kini dalam peringkat akhir dan ia akan dibentangkan kepadanya dalam tempoh terdekat.

Dr Dzulkefly berkata, sebarang dasar untuk mengawal penggunaan vape tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Menurutnya, selepas laporan itu diterima, beliau akan mempertimbang dan membincangkannya dalam mesyuarat pasca Kabinet terlebih dulu.

“Selepas itu, laporan itu kemudian akan dibentangkan kepada Kabinet selewat-lewatnya suku pertama tahun depan,” katanya.

Isu vape atau rokok elektronik (e-rokok) mencetuskan kebimbangan global apabila Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini melaporkan 2,051 jumlah kes penyakit misteri paru-paru membabitkan pengguna vape dengan 39 kematian setakat ini.

Susulan itu, gerakan anti-vape dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia seperti di Turki, India dan Malaysia mengambil kesempatan ini untuk menggesa kerajaan melarang penggunaan vape.

Bagaimanapun, pada 5 November lalu, badan kesihatan di AS, Centers for Disease Control and Prevention (CDC), mengeluarkan laporan terbaru yang mana penemuan kaji selidik mereka menyatakan bahawa punca penyakit dan kematian membabitkan vape di AS adalah dikaitkan dengan penyalahgunaan produk.

Punca kematian dan penyakit di AS itu diberikan kod nama EVALI (e-rokok, vape atau produk berkaitan kecederaan paru-paru) dan berdasarkan maklumat rasmi, kes berkenaan membabitkan penyalahgunaan produk Vitamin E asetat dan tetrahydrocannabinol (THC), sejenis dadah.

Dalam bahasa mudah, kecederaan paru-paru itu bukannya disebabkan penggunaan vape sebaliknya berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan Vitamin E asetat yang dicampurkan ke dalam produk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 3:32 PM